PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan semua pihak supaya tidak gopoh dalam mengeluarkan kenyataan atau desakan untuk mengehadkan penjualan beras tempatan kepada warga asing.
Mohamad berkata, ini kerana hal tersebut berkait dengan soal kemanusiaan dan perlu diberi pertimbangan sewajarnya.
“Kita tahu warga asing yang datang ke sini (Malaysia) antaranya kita yang panggil mereka (untuk bekerja) terutama sekali dalam sektor yang memerlukan tenaga seperti perladangan, pembinaan dan jadi pengawal keselamatan.
“Bagi saya ia soal kemanusiaan, mereka perlu makan dan pertimbangan ini perlu. Dalam suasana begini, jangan kita gopoh sebab kalau pekerja kita (sendiri) berada di luar negara dan mereka tidak boleh dapat beras yang murah untuk makan, kita akan terasa.
“Jadi ini soal ‘human right’, saya rasa perlu mereka terus diberi izin untuk membeli beras di Malaysia ini termasuk beras tempatan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Persidangan Tahunan Ke-25 Persatuan Kebangsaan bagi Pengairan dan Saliran Malaysia (MANCO) di sini, hari ini.
Pada Jumaat lalu media melaporkan, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh kekal mendesak kerajaan supaya mengehadkan jualan beras tempatan hanya kepada rakyat Malaysia.
Dalam perkembangan berlainan, Mohamad berkata, KPKM akan mengadakan pertemuan bersama pemegang taruh berhubung perincian prosedur operasi standard (SOP) pemberian lesen borong kepada pengusaha restoran untuk membolehkan mereka membeli beras putih import (BPI) pada harga borong.
“Pihak padi dan beras (Pejabat Kawalselia Padi dan Beras) akan berjumpa terus dan berdialog dengan mereka, supaya mereka dapat memahami pengusaha restoran dan sebagainya.
“Mereka (akan) diberi harga borong untuk dapatkan beras import itu supaya mereka tidak tertumpu kepada beras tempatan untuk jualan makanan di restoran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE