fbpx

Jaga hati anak, Ruhil enggan dedah status perkahwinan sekarang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUHIL enggan bercerita tentang status perkahwinan dengan suami, Jamil Wilson buat masa sekarang demi menjaga emosi anak-anaknya.

PETALING JAYA – Tiada angin, tiada ribut, penyanyi popular era 1990-an, Ruhil Amani mengesahkan bakal membuatkan pengumuman tentang status perkahwinannya dengan pemuzik, Jamil Wilson dalam masa terdekat

Dikatakan sedang retak menanti belah, buat masa ini penyanyi lagu Kawan itu mengakui belum bersedia membuat pendedahan mengenai hubungannya dengan suami dek memikirkan perasaan dua cahaya mata mereka.

“Bukan sekarang. Saya perlukan masa yang sesuai untuk kongsikan perkara ini. Insya-Allah semuanya akan dijawab dalam waktu terdekat.

“Lebih baik saya tidak bercakap mengenai hal itu kerana pelbagai perkara perlu dipertimbangkan dahulu, terutama menjaga hati anak-anak.

“Disebabkan itu, saya kena jaga segala tindak tanduk, tutur kata. Terlajak kata tak boleh diundur,” katanya ketika ditemui pada sambutan ulang ke-18 sebuah portal hiburan di sini.

Mengulas lanjut, penyanyi berusia 48 tahun seboleh-bolehnya enggan masalah keluarganya dihebohkan kepada umum, sebaliknya selesa dibincangkan bersama anak-anak yang sudah meningkat dewasa.

“Dalam setiap perkara saya tetap meletakkan dua permata hati saya di tempat pertama termasuk perkara membabitkan perasaan kerana mereka pun sudah makin dewasa.

“Walaupun saya seorang ibu, tetapi tak semestinya kena guna kuasa veto kepada anak-anak.

“Saya pentingkan emosi mereka. Jadi sebab itulah saya pilih untuk berhati-hati dalam berkata-kata.

“Mungkin orang sekeliling bertanya kenapa nak kunci mulut? Tapi bagi saya biarlah saya pilih jalan ini untuk melindungi anak-anak,” ulasnya lagi.

Dalam pada itu, Ruhil turut menafikan kemunculan semula dirinya dalam industri seni tanah air sebagai petanda bahawa rumah tangganya sedang goyah.

“Saya minat menyanyi sejak kecil. Biarpun sudah bergelar ibu, minat terhadap bidang seni ini sentiasa subur. Sebelum ini saya kurang aktif kerana kekangan masa dan bagi tumpuan kepada keluarga.

“Kini memandangkan anak-anak semakin membesar, saya rasa inilah masa yang sesuai untuk kembali menyanyi,” luahnya.

Ruhil berkahwin dengan Jamil yang merupakan pemuzik asal Australia pada 2003.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, iaitu Ruhil Ariana Wilson, 19, dan Raayan Alexander Wildon, 13 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI