LONDON – Tottenham Hotspur mengekalkan aksi tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas seri 2-2 ketika menentang Arsenal di Stadium Emirates malam kelmarin.
Walaupun beraksi tanpa kelibat Harry Kane yang berhijrah ke Bayern Munich selain Hugo Lloris kehilangan tempat dalam kesebelasan utama, tanggungjawab sebagai ketua pasukan diambil alih penyerang, Son Heung-min.
Pengurus Spurs, Ange Postecoglou menghamburkan pujian kepada Heung-min atas kredibiliti yang ditunjukkan bagi memimpin pemain-pemain lain selain menjaringkan dua gol pada perlawanan tersebut.
“Dia (Heung-min) menunjukkan sikap yang cukup menakjubkan sebagai seorang pemain dan ketua pasukan. Saya letakkan dia di posisi nombor sembilan dan dia sentiasa bekerja keras dalam setiap perlawanan.
“Setiap kali masuk ke dalam padang, dia sentiasa fikir perkara terbaik untuk pasukan. Apabila bercakap mengenai keharmonian pasukan, Heung-min sebagai ketua dibantu James Maddison dan Cristian Romero,” katanya.
Dalam pada itu, Postecoglou juga wajar diberikan pujian kerana beliau menepati janji untuk bermain secara menyerang dan memberikan tentangan sengit kepada naib juara Liga Perdana musim lalu itu.
“Saya fikir kami berjaya bersaing dengan salah satu pasukan terbaik dalam liga. Walaupun dapat mencatat keputusan seri, namun saya tetap anggap kami sepatutnya dapatkan keputusan lebih baik daripada ini,” ujarnya. – AGENSI