fbpx

GlobalFoundries labur RM4.7 juta buka hab baharu di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow (dua dari kiri) dan Kay Chai (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat GlobalFoundries Malaysia di Bayan Baru, hari ini.

GEORGE TOWN – Salah satu pengeluar semikonduktor terkemuka dunia, GlobalFoundries (GF) melabur sebanyak RM4.7 juta untuk membuka hab baharu di Bayan Baru, di sini.

Ketua Pegawai Pengilangan GF, Ang Kay Chai berkata, hab baharu itu berfungsi sebagai pusat kawalan operasi global kilang-kilang syarikat berkenaan di Amerika Syarikat, Singapura dan Eropah.

Menurutnya, kemudahan pusat kawalan operasi global yang pertama syarikat berkenaan akan mewujudkan 300 peranan sokongan pembuatan bernilai tinggi termasuk juruteknik, jurutera, fungsi pentadbiran dan sokongan.

”Operasi baharu di Pulau Pinang akan memastikan semua kilang GF di peringkat global seperti di Singapura, Amerika Syarikat dan Eropah mempunyai sokongan asas sepanjang masa.

”Kewujudan pusat kawalan operasi global kilang-kilang ini membolehkan syarikat mengekalkan daya tahan rantaian bekalan dan kemampanan untuk operasi global.

“Selain itu, GF juga dapat meneruskan komitmen untuk memenuhi permintaan pasaran bagi cip keluaran GF,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian pembukaan pejabat GF Malaysia, di Bayan Baru di sini, hari ini.

Hadir merasmikan pejabat berkenaan ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bersama Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian.

GF mempunyai 15 lokasi di seluruh dunia dengan kilang fabrikasi pembuatan di Amerika Syarikat, Eropah dan Singapura. Syarikat itu mempunyai kira-kira 13,000 pekerja di seluruh dunia dan lebih daripada 250 pelanggan di seluruh dunia.

Kay Chai menambah, pembukaan hab berkenaan juga akan menyaksikan pelaburan sehingga RM32.8 juta (USD7 juta) untuk latihan jurutera dan juruteknik di sana dalam tempoh tiga tahun akan datang.

”Kami mahu menggunakan sumber global di sini dan di Bangalore, India untuk menjalankan operasi kilang dari jauh dan menyokong kilang kami di seluruh dunia selama 24 jam,” katanya.

Jelasnya, syarikat menemui cara untuk mengendalikan kilang secara maya semasa pandemik Covid-19 dan pada masa ini GF adalah perintis dalam menubuhkan pusat kawalan operasi secara global.

”Kami memilih Pulau Pinang untuk menubuhkan pusat kawalan operasi global kerana adanya bakat-bakat yang mempunyai latar belakang dalam bidang semikonduktor di sini,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, GF akan melatih pekerja dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin untuk mengautomasikan lagi proses dalam pembuatan semikonduktor.

“Kami menantikan perkongsian pengetahuan dan pemindahan kemahiran untuk 300 jurutera dan juruteknik di sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI