fbpx

Fotografi jalanan rakam pemandangan, kehidupan seharian di Seremban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA momen-momen kehidupan masyarakat di Seremban, Negeri Sembilan yang dibidik Kathiresh Balakrishnan. Kathiresh yang berdepan masalah keresahan sosial (social anxiety) sedikit sebanyak dapat keluar daripadanya menerusi fotografi jalanan di bandar kelahirannya itu.

PAGI Sabtu itu, Kathiresh Balakrishnan bersiap seperti biasa untuk memulakan tugasnya.

Bagi kebanyakan orang, hari sebegitu dimanfaatkan untuk aktiviti bersama keluarga atau pun rakan-rakan, namun lain pula bagi Kathiresh yang menggunakan hari itu untuk menghabiskan masa bersama diri sendiri sambil ditemani sebuah kamera DSLR di tangan.

Begitulah rutin mingguan ahli fisioterapi itu yang juga merupakan seorang jurugambar jalanan sambilan.

Menariknya, subjek fotografi Kathiresh hanya tertumpu di jalan-jalan di sekitar Seremban, Negeri Sembilan yang juga merupakan tempat kelahirannya.

Malah, jejaka berusia 32 tahun itu turut memuat naik semua foto yang dirakamnya menerusi Instagram @seremban.streetist sebagai ‘buku memori’ digital untuk mendokumentasikan bandar Seremban buat generasi masa hadapan.

Kongsi Kathiresh, dia mula membeli kamera DSLR sebagai hadiah hari lahir kepada dirinya sendiri pada tahun 2016.

Bertitik tolak dari situ, dia mula mencuba-cuba merakam pelbagai jenis gambar seperti gambar pemandangan dan sebagainya.

Begitu pun, dia akhirnya jatuh hati terhadap genre street photography atau fotografi jalanan kerana bagi Kathiresh, ia membantunya untuk keluar daripada ‘zon selesa’.

“Saya sebenarnya merupakan seorang yang mempunyai masalah social anxiety atau keresahan apabila terpaksa berdepan dengan orang ramai.

“Apabila memilih untuk menjadi seorang jurugambar yang hanya memfokuskan kepada rakaman gambar jalanan, ia sebenarnya membantu saya mengatasi ketakutan saya dan memaksa saya untuk keluar serta sentiasa berkomunikasi dengan subjek.

“Biarpun ia juga merupakan genre fotografi paling mencabar buat saya, namun ia sebenarnya membantu saya untuk mengatasi masalah keresahan sosial dan saya mampu keluar daripada zon selesa itu,” katanya kepada K2.

Kathiresh baru-baru ini mendapat perhatian beberapa media yang dapat menghidu bakat fotografinya.

KATHIRESH

Bagi Kathiresh, pemilihan Seremban sebagai bandar bagi subjeknya adalah kerana dia membesar di situ dan telah melihat banyak perubahan membabitkan bandar kelahirannya itu.

“Saya sememangnya menghabiskan masa di Seremban sejak kecil lagi dan sudah tentu ia cukup dekat dengan jiwa saya memandangkan bandar ini banyak menyimpan memori kehidupan saya,” katanya.

Kathiresh berkata, dia sama sekali tidak menyangka minatnya yang timbul secara rawak itu mampu bertahan sehingga kini.

Malah, dia juga mengakui tidak pernah mendapat pendidikan rasmi dalam bidang fotografi dan semua yang dipelajarinya adalah secara sendiri atau pun self-taught.

“Saya tidak pernah mendapat pendidikan rasmi dalam bidang ini dan apa-apa perkara berkaitan fotografi, saya pelajari sendiri sama ada menerusi video YouTube, buku atau pun melihat inspirasi daripada jurugambar jalanan yang lain.

“Ada juga yang saya belajar daripada trial and error daripada gambar-gambar sendiri,” katanya.

Bercerita tentang gambar paling bermakna yang pernah dirakamnya, Kathiresh berkata, dia paling menyukai sekeping foto sebuah kedai tua yang dirakam secara rawak pada 2019.

“Pada 2019, saya sedang berjalan kaki di sebuah lorong di Seremban bersama kamera DSLR di tangan.

“Kemudian, saya terlihat sebuah kedai lama, dipercayai berusia lebih daripada 70 tahun dan di hadapannya, terdapat seorang lelaki tua Cina yang sedang duduk di atas sebuah motosikal kapcai.

“Di mata saya, situasi tersebut nampak begitu asli dan menarik, lalu saya terus merakamnya,” kata Kathiresh.

Dia kemudiannya memuat naik gambar tersebut di akaun Instagramnya.

Panorama indah dan mendamaikan yang dirakam Kathiresh di Taman Tasik Seremban baru-baru ini.

Setahun kemudian, salah seorang ahli keluarga lelaki tua itu terjumpa Instagram Kathiresh dan memaklumkan bahawa lelaki tua itu sudah pun meninggal dunia.

“Mereka meminta saya untuk berkongsi salinan foto tersebut untuk disimpan dan lebih membuatkan saya sedih adalah menurut keluarga pak cik itu, dia biasanya tidak membenarkan sesiapa pun merakam gambarnya.

“Namun, entah mengapa, pak cik itu memberikan izin kepada saya untuk merakam gambarnya pada hari tersebut sambil tersenyum.

“Insiden itu memberikan saya inspirasi untuk terus merakamkan gambar sebanyak mana yang boleh memandangkan apa yang ada hari ini, mungkin tiada lagi esok dan ia menyedarkan saya betapa pentingnya menyimpan memori begini,” katanya.

Kathiresh berkata, dia banyak menyaksikan perubahan yang berlaku di bandar Seremban seperti kedai-kedai yang sudah ditutup dan juga kedai-kedai yang diambil alih oleh generasi seterusnya bagi terus menghidupkan sesebuah perniagaan, menjadikan dia berasa seolah-olah terdapat satu ikatan jiwa antara dia dan Seremban.

Malah, Kathiresh juga menganggap Seremban bagaikan ‘mini Malaysia’ yang mana di bandar itu, ketiga-tiga kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India sama-sama dominan dari segi pembangunan, makanan dan juga sejarahnnya.

“Ada yang bertanya kepada saya, mengapa saya hanya menumpukan untuk mengambil gambar di Seremban sahaja dan adakah saya tidak berminat untuk mengambil gambar jalanan di tempat lain.

“Bagi saya, biarpun Seremban ini merupakan sebuah pekan kecil, namun saya sentiasa berasa dekat dengannya dan setiap hari, ada sahaja subjek baharu yang saya temui untuk dirakam,” katanya.

Selain itu, minat terhadap fotografi juga membuka mata Kathiresh terhadap banyak perkara, terutama sekali tentang stereotaip.

“Saya percaya bahawa sejak kecil, ramai antara kita yang sering memberikan stereotaip tertentu terhadap seseorang atau sesuatu bangsa dan kita akan mempercayainya.

“Begitupun, selepas sering keluar dan bergaul dengan pelbagai jenis manusia, saya menyedari bahawa stereotaip itu sebenarnya salah kerana bukan semua orang sama seperti apa yang kita ‘percaya’ melalui stereotaip-stereotaip ini.

“Ya, kita mungkin mempunyai warna kulit, agama dan kaum yang berbeza, namun hakikatnya, kita semua memiliki emosi yang sama dan ini yang menjadikan kita manusia,” katanya penuh makna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI