fbpx

Dua bot fiber laku pelbagai kesalahan ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah sebuah bot fiber yang ditahan APMM di Pulau Kalumpang dekat Bagan Serai ditahan APMM semalam.

BAGAN SERAI – Dua buah bot fiber bersama dua nelayan warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau di kedudukan 1.06 dan 1.30 batu nautika barat daya Pulau Kalumpang dekat sini pada pukul 10.40 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, kedua-dua bot terbabit dikesan pihaknya sedang terapung dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Melihat keadaan terbabit, bot ronda Zon Maritim Kuala Kurau bertindak merapat bot berkenaan untuk membuat pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot itu menemukan dua orang nelayan warga Indonesia masing-masing berusia 37 dan 52 tahun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berada di bot,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Najhan berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, salah sebuah bot terbabit tidak memiliki lesen yang sah dan kedua-dua mereka tidak memiliki kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Selain itu, katanya, spesifikasi enjin yang digunakan tidak sama seperti yang dilesenkan.

“Kesemua nelayan, bot dan peralatan perikanan telah ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana mengoperasikan vesel tanpa lesen yang sah dan Seksyen 8 (b) akta yang sama kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran, bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik serta mengubah spesifikasi enjin tanpa kebenaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, sebanyak 85 unit bubu naga telah dirampas di perairan Kerian pada 23 dan 24 September lalu.

“Kesemua bubu naga yang dirampas dikesan di kedudukan 3 dan 3.10 batu nautika barat daya Kuala Gula melalui penanda botol putih merah yang terapung semasa rondaan rutin selama dua hari itu dilakukan.

“Kesemua bubu naga yang dirampas dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut. Nilai rampasan ke semua bubu naga itu dianggarkan berjumlah hampir RM6,000.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan kesalahan memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan, peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI