PETALING JAYA – “Orang yang tak putih, hidung tak mancung memang tak boleh berjaya di Malaysia ni?”
Demikian antara luahan hati penyanyi, Liza Hanim apabila rupa paras dan bentuk fizikalnya dikritik sehingga menjadi kayu pengukur kejayaannya sebagai anak seni oleh pemilik akaun Instagram Jabatan Netizen semalam.
Tidak melenting atau menyelar dengan kata-kata menyakitkan hati, penyanyi berusia 44 tahun itu sebaliknya mensyukuri setiap anugerah Tuhan buat dirinya selama ini.
“Bukan sentap tetapi saya perlu menjawab hal ini. Adakah individu berkulit gelap atau hidung tidak mancung membuatkannya tidak boleh berjaya di Malaysia?
“Ya, betul saya sedar malah sangat bersyukur dengan semua yang Allah SWT telah kurniakan.
“Selagi gembira dengan keluarga, saya tidak kisahlah memgenai standard yang diletakkan oleh manusia mengenai cantik atau buruk,” katanya dalam Instagram semalam.
Menyedari tidak memiliki wajah jelita seperti orang lain, Liza bagaimanapun percaya keperibadian adakala lebih penting berbanding rupa. Dia juga tertanya-tanya, mengapa dan bagaimana seseorang tergamak mengeluarkan kenyataan melampau sedemikian rupa.
“Tergamak nak bagi komen berkali-kali sebegini, motif?
“Kadang-kadang bahasa itu lagi penting daripada paras rupa ya, saya tidak goyang dengan cacian serta kutukan sesiapa tetapi budaya sekarang sangat melampau.
“Adakalanya saya tertanya-tanya juga mengenai rupa paras individu di sebalik komen ini,” tulisnya.
Pelantun Getaran Cinta Di Jiwa itu juga mengakui pelbagai perkara sudah dihadapinya sejak bergelar anak seni dan kritikan sebegitu tidak sesekali menjejaskan semangatnya untuk terus berkarya.
“Tahun 2023 merupakan tahun ke-26 saya dalam industri nyanyia, sudah pelbagai perkara saya lalui dan hadapi.
“Jadi, kutukan secara halus awak ini tidak ‘goyangkan’ semangat saya tetapi sedih kerana tidak sensitif mengenai orang lain.
“Perkongsian ini untuk semua yang pernah dikutuk seperti saya supaya bangkit dan menjadi lebih kuat serta sentiasa bersyukur dengan setiap kurniaan Allah,” jelasnya.
Semalam, media sosial kecoh dengan komen yang ditulis pemilik akaun Jabatan Netizen yang menyifatkan rupa paras dan fizikal Liza atau nama penuhnya Haliza Hanim Abd. Halim menjadi penghalang utama dirinya untuk popular.
Antara yang dikritik ialah tekstur kulit wajah Liza iaitu mempunyai perut jerawat serta bentuk hidung tidak mancung.
Lebih mengecewakan, individu tersebut turut membanding-bandingkan perjalanan karier Liza dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dianggap lebih berjaya dan cantik.
Natijahnya, pemilik akaun berkenaan meraih ribuan kecaman yang rata-ratanya berpendapat kejayaan seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan paras rupa.
“Kau nak pertikaikan ciptaan Allah, bodoh ke apa? Awak cantik di mata saya Liza,” komen penyanyi senior, Salamiah Hassan.
“Sabar, tabah dan sentiasa mensyukuri kecantikan sebenar. Kekalkan dan saya doakan awak dari sini,” kata pelakon, Azhan Rani. – KOSMO! ONLINE