PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan memaklumkan kadar kebolehpasaran pelajar yang mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di kolej vokasional (KV) tahun lalu mencecah 99.16 peratus.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah itu, 84.55 peratus graduan KV telah bekerja dan selebihnya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Pencapaian itu jelasnya, menunjukkan bahawa graduan TVET KPM mempunyai kelayakan kepakaran dan juga menjadi pilihan industri serta memenuhi keperluan tenaga mahir negara.
Fadhlina berkata, dalam konteks memastikan graduan TVET KPM relevan dengan pekerjaan masa hadapan, KPM sentiasa memastikan kandungan kurikulum bagi program diploma ditawarkan di KV diberi nilai tambah teknologi terkini selaras dengan perkembangan industri 4.0 (IR 4.0) melalui sukatan-sukatan baharu.
“Sebagai contoh, smart farming, artificial insemination, internet of things (IoT) dalam bidang pertanian serta Teknologi Automotif Hibrid dan Kenderaan Elektrik (EV) dalam bidang automotif yang pada ketika ini memang berupaya untuk meningkatkan pengetahuan murid terhadap teknologi terkini.
“Dalam masa yang sama KPM juga akan memastikan bidang-bidang pilihan seperti kosmetologi iaitu bidang kosmetik, seni reka fesyen, kulinari, bakeri dan pastri serta pendidikan awal kanak-kanak sentiasa dikemas kini dan ditambah baik selaras dengan perkembangan semasa,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan sidang khas Dewan Negara Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengajian di KV adalah berteraskan kompetensi dengan wajaran 70 peratus amali dan 30 peratus teori.
Katanya, program yang ditawarkan memberi tumpuan kepada tiga kumpulan utama mengikut potensi dan keupayaan pelajar.
“Ia merangkumi program Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan program Diploma Kolej Vokasional;program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan sijil profesional di kolej vokasional KPM.
“Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) turut berpeluang mengikuti program TVET samada menerusi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK atau program vokasional di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV).
“Ini membolehkan MBPK mendapatkan pendidikan kemahiran bagi memenuhi keperluan pasaran kerja,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE