PETALING JAYA – “Orang cakap bahagia kita jangan tunjuk sangat”.
Demikian komen netizen buat pendakwah selebriti Da’i Syed yang dicemuh akibat memuat naik video bermesra bersama isterinya, Hana Ismail di tepi pantai.
Netizen turut meminta bekas peserta Da’i Pendakwah Nusantara musim keempat itu menyimpan rapi memori yang dicipta bersama isteri tanpa perlu ditayang kepada umum.
“Dalam dunia ini, macam-macam penyakit ada. Kenangan tersebut biar kita simpan sahaja dengan pasangan,” ujarnya lagi.
Tidak mahu mendiamkan diri, Syed tampil menjawab tuduhan tersebut dengan menyatakan perkongsiannya hanya sebahagian kecil daripada kenangan yang dicipta.
Insya-Allah. Doakan yang baik-baik. Ini hanya 20 peratus sahaja dari kenangan kami,” kata pendakwah berusia 28 tahun itu.
Dalam perkongsian video pendek, Syed menikmati masa lapang bersama Hana di sebuah pantai dan menunjukkan kemesraan mereka dalam media sosial sekali gus mengundang kecaman sebilangan peminat.
Dengan kapsyen ‘semoga bahagia selalu milik kita’, video tersebut meraih lebih 100,000 jumlah tontonan setakat artikel ini ditulis.
Terdahulu, Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful Jamalullail dan isterinya selamat disatukan dalam sebuah majlis akad nikah 3 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE