SUNGAI PETANI – Sebanyak 1,000 kampit beras lima kilogram (kg) yang dijual pada harga RM1 sekampit di Dewan Serbaguna Masjid Sultan Abdul Halim, di sini hari ini habis dalam masa setengah jam.
Jualan beras itu dilakukan oleh Yayasan Misi Rakyat bagi memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan mendapatkan bekalan makanan ruji itu pada harga termurah.
Pengasas Yayasan Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd. Azmi, 32, berkata, dia melakukan inisiatif itu untuk membantu semua golongan yang terjejas memperoleh beras pada harga murah.
“Saya pernah hidup susah sebelum ini, jadi saya memahami keperluan rakyat untuk mendapatkan bekalan makanan utama itu.
“Sehubungan itu, saya ambil inisiatif menganjurkan jualan murah ini dan jika diberi rezeki lagi, saya akan terus menganjurkan jualan seperti ini di Perlis, Pulau Pinang dan Langkawi selepas kali pertama diadakan di Perak, baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan di lokasi jualan mendapati orang ramai sudah berpatur panjang seawal pukul 6.45 pagi walaupun pagar dewan hanya dibuka pada pukul 9 pagi tadi.
Suri rumah, Roslina Husin, 40, dari Taman Ria Jaya berkata, pendekatan yang dibuat Yayasan Misi Rakyat itu sangat bermakna kepada golongan berpendapatan rendah sepertinya kerana mampu mengurangkan kos perbelanjaan. – KOSMO! ONLINE