NEW DELHI, India – Kenaikan tinggi harga bahan masakan utama seperti tomato dan bawang menyebabkan kebanyakan penduduk di India mengurangkan atau tidak menggunakan langsung makanan tersebut.
Saluran berita NBC News melaporkan, peningkatan harga hampir mencecah paras tertinggi itu didorong oleh inflasi dan banjir teruk di utara India yang telah memusnahkan hasil tuaian.
India merupakan negara yang memiliki penduduk paling ramai di dunia sekitar 1.42 bilion orang.
Pada musim panas tahun lalu, harga tomato meningkat daripada 20 rupee (RM1.13) kepada 100 rupee (RM5.64) untuk satu kilogram, manakala bawang pula naik daripada 30 rupee (RM1.69) kepada 180 rupee (RM10.15) sekilogram.
“Kami datang ke sini untuk mencari rezeki dan membina rumah untuk anak-anak kami.
“Namun, kami kini tidak mampu kerana kos sara hidup semakin meningkat,” kata seorang pekerja asing, Raj Kumari, 30, yang tinggal selama beberapa dekad di kawasan setinggan Majnu-ka-Tilla, barat laut New Delhi.
Kumari dan suaminya, Santosh, 32, tinggal bersama seorang anak perempuan berumur 15 tahun dan anak lelaki berusia 12 tahun di atas tanah seluas 9.2 meter persegi beratapkan bumbung timah.
Sekiranya bernasib baik, pasangan itu memperoleh pendapatan 25,000 rupee (RM1,409) sebulan, jauh melebihi garis purata kemiskinan di bandar raya New Delhi iaitu kira-kira 1,200 rupee (RM67), namun ia masih gagal menampung kos sara hidup empat beranak tersebut.
Kumari yang bekerja sebagai buruh harian bagaimanapun banyak menghabiskan masa di rumah sejak enam bulan lalu. Santosh yang menjadi pemandu beca dan bekerja di tapak pembinaan pula berkata, dia bekerja 10 hari sahaja pada bulan lepas.
Keluarga berpendapatan rendah seperti mereka menerima kira-kira 15 kilogram gandum percuma daripada kerajaan setiap bulan, namun bahan makanan ruji di India itu hanya mampu bertahan selama 10 hari.
Inflasi harga makanan yang mencecah paras 11.5 peratus sekali gus tertinggi dalam tempoh tiga tahun pada Julai lalu, memaksa Perdana Menteri, Narendra Modi mengambil langkah tegas untuk menurunkan harga menjelang pilihan raya umum India, tahun depan.
Antara langkah tegas kerajaan India ialah melarang eksport beras dan bawang ke luar negara. New Delhi juga mengimport tomato dari negara jirannya, Nepal selain mula menjual beberapa jenis sayuran pada harga subsidi.
Beberapa pakar berkata, hujan monsun yang mengakibatkan banjir buruk di beberapa negeri di utara India di samping impak fenomena cuaca El Nino, menyebabkan harga hampir semua barang runcit meningkat.
“Corak cuaca sekarang sangat tidak menentu. Sesetengah kawasan menerima lebih banyak hujan sedangkan sebahagian lagi kering,” kata pakar pertanian, Nilabja Ghosh yang merupakan profesor di Institut Pertumbuhan Ekonomi di New Delhi. – AGENSI