fbpx

Metalik yang mengujakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trend metalik semakin mendapat tempat di pentas-pentas peragaan kebelakangan ini.

Ceria, segar dan mengujakan dengan sedikit elemen futuristik, metalik adalah antara trend popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sememangnya kita mahu pakaian yang dipakai menjadi perhatian, namun berhati-hati kerana jika keterlaluan dengan trend metalik, dikhuatiri kita akan kelihatan seperti cyborg dari masa depan.
Oleh itu, untuk hasil terbaik, pastikan gaya solekan anda natural, dandanan rambut ringkas dan gayakan hanya satu aksesori metalik hebat (rona emas, perak, labuci atau rona permata) pada satu-satu masa yang dipadankan dengan rekaan pakaian gaya sederhana. Di sini dititipkan panduan kreatif bagaimana untuk menyuntik elemen glamor metalik dalam penampilan.

Kasut metalik
Jika anda baru mahu mencuba gaya metalik, kasut metalik adalah cara dan permulaan paling mudah dan praktikal. Kasut tinggi rona perak adalah alternatif kepada kasut pumps rona kulit (nude) yang anda ada. Ia boleh digayakan dengan hampir semua padanan seperti jean, skirt, gaun koktel dan pelbagai pilihan.
Kasut metalik perak dapat menyuntik kombinasi sentuhan klasik dan kontemporari kepada padanan seluar jalur dan top kasual. Untuk gaya sporty-cool dapatkan slip-on sneakers metalik sebagai pelengkap penampilan. Alternatif lain adalah sandal bertali atau gladiator, flats dan but.

Beg clutch metalik
Pilihan clutch yang saiznya kecil dan berkilat adalah cukup glam, anggun dan versatil – amat sempurna jika kita hanya mahukan sedikit dos metalik dalam gaya kita. Contohnya: Padankan gaun hitam dengan envelope clutch perak untuk gaya kontemporari chic.
Kombinasi rona hitam yang elegan dan perak moden ini pasti dapat membawa penampilan anda dari siang ke malam.

Skirt metalik
Cuba kombinasi segar ini. Padankan skirt metalik anda dengan baju panas cable-knit dan kasut flats atau top jersey, jaket jean dan but. Untuk gaya lebih chic, kombinasi skirt metalik, kemeja button down putih dan kasut tinggi pasti menjadi pilihan.

Kemeja/ top metalik
Mungkin kemeja/ top metalik hanya sesuai untuk acara parti, tetapi musim ini pereka menjadikan pilihan istimewa itu kelihatan mudah disuai padan. Seperti camisole metalik yang menarik dipadankan dengan jean putih, skirt, blazer dan kasut tinggi, ia turut memudahkan transisi dari pagi ke malam.

Jaket metalik
Jaket metalik adalah cukup versatil, edgy dan hebat. Terpulang pada mood dan destinasi, anda boleh memakainya dengan jean atau gaun. Untuk gaya cool dan bersahaja padankan dengan sniker, leggings, kemeja-T mengikut bentuk badan atau jika berani aksesori metalik. Apapun perlu dielak memakai jaket, gaun dan kasut tinggi yang kesemuanya dalam rona metalik – kerana gaya keseluruhan pasti kelihatan keterlaluan.

Gaun metalik
Pilihan berani gaun metalik, pasti dapat menyerlahkan penampilan hebat terutamanya untuk ke parti. Tebuk leher tinggi (high neckline) atau yang tidak begitu terbuka sesuai untuk menjadikan gaun pendek metalik kelihatan lebih sofistikated. Sempurnakan gaya anda hanya dengan memakai aksesori ringkas dalam rona hitam. Paling penting gayakan gaun metalik anda dengan penuh bangga, pasti anda menjadi perhatian.

Aksesori metalik
Gunakan aksesori yang berkilau untuk menarik pandangan mata ke bahagian tubuh yang mahu kita beri perhatian. Gaya ini glam, kontemporari. Tali pinggang metalik emas atau perak misalnya adalah pilihan terbaik untuk kita berikan penumpuan pada bahagian pinggang yang mempunyai tarikan tersendiri. Untuk elemen gaya klasik dan parti formal padankan tali pinggang metalik perak dengan pakaian rona putih dan kasut pumps rona kulit (nude).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI