JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia berkongsi kisah hidupnya yang terpaksa membatalkan perkahwinan pada saat akhir kerana masalah berat badan berlebihan yang dihadapinya, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Elvina Ramayanti berkata, dia kecewa kerana bakal suaminya membatalkan perkahwinan selepas mereka menghantar kad undangan kepada tetamu.
“Ketika hari bahagia (perkahwinan) makin hampir, saya tidak sedap hati. Saya cuba memeriksa telefon bimbit bakal suami. Rupa-rupanya dia berbalas mesej dengan gadis lain,” kata Elvina menerusi hantaran di laman TikTok.
Tambah Elvina, dia bertanyakan hal itu kepada tunangnya, namun tersentak mendengar jawapan lelaki tersebut.
“Bagaimana cita rasa awak? Adakah berat badan saya menjadi masalah? Adakah awak malu mempunyai isteri berbadan gempal? Saya sudah berdiet, bersabarlah dahulu dan bukannya berlaku curang begini,” kata Elvina dalam mesej kepada tunangnya.
Namun, hatinya remuk apabila lelaki itu menjawab: “Ya, bagi saya amat wajar untuk memiliki isteri yang mempunyai bentuk badan menarik.”
Kata tunangnya lagi, dia akan pergi ke rumah Elvina dan bertemu dengan ibu dan bapanya untuk memutuskan pertunangan mereka secara baik.
Hantaran Elvina menerima pelbagai komen netizen.
“Lebih baik batal kahwin daripada menyesal selepas berkahwin,” kata seorang netizen.
“Orang yang menerima kita dengan tulus ikhlas akan juga menerima kekurangan kita. Semoga anda terus kuat dan mendapat pengganti,” kata pengguna lain. – AGENSI