fbpx

Tiga projek PPR di Perak dilaksana libat peruntukan RM308 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming (duduk, tiga kiri) pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH -Sebanyak tiga projek baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan peruntukan melebihi RM308 juta akan dilaksanakan di Perak dalam masa terdekat yang bakal memanfaatkan 6,000 orang isi rumah di negeri ini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya telah mengenal pasti tiga tapak untuk membangunkan projek PPR melibatkan 1,200 unit rumah di negeri ini iaitu di Tambun, Lenggong dan Teluk Intan.

Beliau berkata, tapak pertama PPR Tambun akan dibangunkan di Parlimen Tambun dan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di atas tapak milik kerajaan negeri.

“Projek ini menyasarkan sebanyak 500 unit rumah bertingkat dengan kemudahan lif, surau, tadika, taska, dewan atau balai komuniti, kedai, gerai, bangunan utiliti atau ansilari, landskap dan kawasan lapang dengan anggaran kos RM140 juta.

“Buat masa ini, KPKT sedang mendapatkan pertimbangan dan kelulusan khas Kementerian Ekonomi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kor Ming berkata, tapak kedua iaitu PPR Lenggong pula terletak di Parlimen Lenggong dan berada di dalam DUN Kota Tampan.

Katanya, sebanyak 300 unit rumah jenis teres akan dibangunkan di atas tapak yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Perak berserta kemudahan asas seperti surau, tadika, taska, dewan atau balai komuniti, kedai, gerai, bangunan utiliti atau ansilari, landskap dan kawasan lapang dengan anggaran kos RM72 juta.

“PPR Lenggong atau nama asalnya, PPR Perak telah diluluskan dalam Rolling Pelan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan akan dilaksana secepat mungkin. Permohonan ini sedang dalam pertimbangan Notis Perubahan (NOC) oleh Kementerian Ekonomi,” katanya.

Bagi tapak ketiga pula, katanya, ia terletak di Parlimen Teluk Intan dan berada di DUN Changkat Jong.

“Sebanyak 400 unit rumah teres beserta kemudahan asas seperti surau, tadika, taska, dewan atau balai komuniti, landskap dan taman permainan akan dibina di atas tapak milik Perbadanan PR1MA Malaysia dengan anggaran kos RM96 juta. Permohonan PPR Teluk Intan ini telah dikemukakan dan sedang dalam pertimbangan NOC oleh Kementerian Ekonomi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI