MACHANG – Seorang warga emas terkejut selepas terdengar tiga das tembakan kuat di depan rumahnya di Tok Bok semasa bangun untuk menunaikan solat subuh di masjid berhampiran rumahnya pagi tadi.
Abdul Samad Hamzah, 74, meskipun terkejut, dia tidak mengesyaki sebarang kejadian melibatkan tembakan dan beranggapan ada kemalangan jalan raya di depan rumahnya.
Menurutnya, dia bangun kira-kira pukul 4 pagi tadi untuk bersiap-siap bagi menunaikan solat subuh di masjid.
“Ketika sedang bersiap, saya terdengar tiga das bunyi tembakan depan rumah. Saya menyangka bunyi itu berlaku kesan daripada kemalangan jalan raya.
“Sebaik sahaja keluar dari rumah untuk ke masjid, seorang anggota polis sudah berada di hadapan rumah saya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Abdul Samah memberitahu, dia masih belum mengesyaki sebarang kejadian tembak meskipun sudah melihat sebuah kereta jenis Toyota Vios terbabas di depan rumahnya.
Menurutnya, ketika membuka pintu pagar rumah, beberapa anggota polis sedang dilihat menahan seorang lelaki.
“Saya ada bertanya kepada salah seorang anggota polis mengenai insiden itu, namun mereka memaklumkan bahawa ia adalah urusan pihak polis.
“Saya dan isteri mengetahui seorang lelaki maut ditembak oleh anggota polis selepas pulang daripada menunaikan solat subuh pagi tadi,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang lelaki maut ditembak selepas dipercayai menyerang anggota polis dengan senjata tajam di Tok Bok, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, suspek berusia 20-an maut selepas terkena tembakan pihak polis manakala seorang lagi rakannya yang berusia dalam lingkungan 30-an berjaya ditahan.
Difahamkan, sebelum kejadian, kedua-dua suspek dilaporkan sedang mencuri lembu di Kampung Joh dekat sini. – KOSMO! ONLINE