ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan kenyataannya mengenai siasatan kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Sik, pada minggu lepas.
Menurut Muhammad Sanusi, proses tersebut berjalan lancar dengan kehadiran pegawai SPRM ke pejabatnya yang bertanyakan empat soalan berkaitan kes itu.
“Mereka hanya tanya empat soalan, itu sahaja. Saya bukan orang jahat nak tanya banyak-banyak, saya ini dikenali sebagai orang baik, tanya sikit pun padan dah,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 dan Majlis Angkat Sumpah Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Akhbar baru-baru ini melaporkan SPRM mengambil keterangan Menteri Besar itu di pejabatnya pada 17 September lepas bagi membantu siasatan kes kecurian REE di Sik.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, siasatan kes itu berada di peringkat akhir namun perlu melihat kepada beberapa perkara dalam konteks undang-undang.
Muhammad Sanusi bagaimanapun enggan mengulas secara terperinci pertemuannya dengan pegawai SPRM tersebut bagi mengelak sebarang spekulasi.
“Tidak payahlah beritahu nanti macam-macam pula spekulasi kan? Ya, saya telah bertemu dengan pegawai SPRM dan beri kenyataan saya, mereka tanya empat soalan. Itu saja.
“Tak ada serahan dokumen apa, tak ada apa, bagi keterangan biasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE