fbpx

Siswazah UKM bantu hidupkan semula Spa Z Penjara Kajang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAFIR KHAN (dua dari kiri) bersama Zalina (dua dari kanan) merasmikan SPA Z di Penjara Kajang, Selangor baru-baru ini.

MESKIPUN tersasar arah dalam kehidupan dengan melakukan kesalahan sehingga menyebabkan diri menjadi penghuni penjara, namun setiap pesalah harus diberi peluang untuk pembangunan kemahiran diri.

Melalui pembangunan kemahiran ketika berada di dalam penjara, ia membolehkan mereka mempunyai satu kemahiran khusus untuk digunakan mencari rezeki setelah dibebaskan.

Bagi membantu penghuni-penghuni penjara, sekumpulan pelajar siswazah dari UKM-Graduate School of Business (GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui projek Rejuvenate telah berjaya menghidupkan semula Spa Z di Penjara Wanita Kajang, Selangor.

Pengarah Projek, Ahmad Aiman Ahmad Azlan berkata, kejayaan projek itu melambangkan kerjasama erat antara pelajar UKM dengan pihak penjara.

Ujarnya, projek itu bertujuan membaik pulih Spa Z iaitu sebuah spa yang diurus sepenuhnya oleh penghuni penjara berkenaan.

Menurutnya, inisiatif itu selari dengan objektif rehabilitasi dan pembangunan kemahiran yang diusahakan oleh Jabatan Penjara.

Terangnya, ia bagi memastikan penghuni penjara memiliki kemahiran bernilai sebelum kembali ke pangkuan masyarakat.

“Kejayaan projek ini mencerminkan dedikasi, kerjasama dan visi semua pihak yang terlibat.

“Kami amat menghargai sokongan daripada Penjara Wanita Kajang dan optimis tentang impak jangka panjang inisiatif ini,” katanya.

SPA Z akan diuruskan sepenuhnya oleh penghuni Penjara Wanita Kajang.

Antara tetamu yang hadir pada majlis perasmian spa tersebut baru-baru ini ialah Dekan UKM-GSB, Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul; Pengarah Penjara Wanita Kajang, Pegawai Kanan Komisioner Zalina Mohd. Yunus dan Penasihat Projek Rejuvenate, Dr. Ida Rosnita Ismail.

Kehadiran mereka membuktikan pentingnya inisiatif sebegini dalam transformasi kehidupan penghuni penjara.

Dalam majlis tersebut, tetamu dijemput untuk melawat pusat spa yang telah dinaik taraf. Mereka juga menyaksikan pelancaran logo baharu Spa Z, penandatanganan buku lawatan oleh Zafir Khan dan penyerahan ‘mock cheque’ berjumlah RM38,670.

Dana tersebut dikumpulkan dengan bantuan dua syarikat utama iaitu Franky Construction dan JJ One Beauty Academy Sdn. Bhd. serta sumbangan ikhlas daripada masyarakat umum.

Sementara itu, Dr. Ida Rosnita berkata, projek Rejuvenate telah berjaya merapatkan jurang persepsi masyarakat mengenai peranan penjara.

“Melalui sumbangan daripada masyarakat dan korporat, kita diingatkan bahawa penjara bukan hanya menjadi tempat hukuman, tetapi juga pusat pembentukan moral dan kemahiran.

“Jabatan Penjara menyatakan bahawa semua penghuni yang terlibat dengan perkhidmatan spa telah menjalani latihan intensif berasaskan kemahiran vokasional dan industri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zafir Khan menjelaskan, kerjasama dengan Jabatan Penjara mengukuhkan pembangunan modal insan dan menonjolkan kebolehan pelajar UKM-GSB.

“Seperti air yang membulat kerana pembetung, manusia membulat melalui muafakat. Kerjasama antara UKM-GSB dan Penjara Wanita Kajang adalah suatu kejayaan yang membanggakan,” terangnya.

Dengan adanya projek itu, masyarakat diharapkan mempunyai lebih kesedaran akan pentingnya program rehabilitasi dan pembinaan kemahiran kepada penghuni penjara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI