KUALA KANGSAR – Penduduk mahu kerja-kerja baik pulih semula Kolam Renang Kuala Kangsar, di sini, yang menjadi tumpuan ramai untuk beriadah segera dilakukan, malah mereka tidak kisah jumlah bayaran masuk yang bakal dikenakan.
Gesaan itu dibuat apabila kolam renang tersebut masih belum dapat digunakan penduduk sehinggakan ada yang terpaksa ke Ipoh semata-mata mahu merasai kemudahan yang sama.
Kolam renang itu dikatakan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), namun mengalami kerosakan dan tidak boleh digunakan sejak November 2021.
Seorang penduduk, Nurul Qamar Salehuddin, 37, berkata, dia berharap pemulihan semula kolam renang itu dapat disegerakan bagi membolehkan anak-anak beriadah serta berlatih berenang.
Katanya, sebelum ini, kolam tersebut menjadi tumpuan ramai terutama pada hujung minggu dan cuti umum.
“Semua penduduk bertanya, bilakah kolam renang itu akan dibuka semula, sudah lama terbiar,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mohd. Syafiq Suhaimi, 32, pula berkata, mereka tiada masalah dengan kadar bayaran masuk ke kolam renang tersebut selepas ia dibaik pulih atau dinaik taraf.
“Kami tidak kisah sekiranya berlaku kenaikan harga bayaran masuk, asalkan kolam renang ini dibuka semula.
“Dalam Facebook pun ramai mengeluh. Diharapkan pihak berkuasa tempatan memberi perhatian mengenai perkara ini,” ujarnya.
MPKK pada Ogos lalu telah mengeluarkan iklan tawaran permohonan pengemukaan cadangan (RFP) kepada individu atau syarikat yang berminat untuk menyewa dan menguruskan Kolam Renang Kuala Kangsar.
Yang Dipertua MPKK, Dr. Sakduddin Zamli dilaporkan berkata, pihaknya telah menerima tiga RFP dengan jangkaan kos untuk menyediakan kolam renang tersebut mencecah hampir RM1 juta.
Katanya, pihaknya kini sedang mengusahakan dana supaya projek itu dapat direalisasikan, sekali gus membolehkan penduduk menikmati semula kemudahan tersebut.
“Kita tiada isu untuk menyiapkannya, cuma dana yang tidak cukup. Kita ada cuba dapatkan (dana kerajaan) Pusat dan juga negeri, tetapi kerana kosnya agak besar, perlukan sedikit masa dapatkan dana untuk siapkan projek ini,” katanya.