JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) akan bekerja keras memenangkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai 7 Oktober ini.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini bagi membalas jasa BN khususnya UMNO yang tidak mengenal penat membantu kemenangan calon Amanah di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, bulan lalu.
“Terlebih dahulu, saya nak ucapkan tahniah pada BN khasnya UMNO yang bekerja keras sehingga Amanah berjaya mempertahan kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada PRK bulan lalu.
“Saya lihat semangat perpaduan semakin erat dan kini tiba giliran kita pula untuk membantu mereka sehebat mungkin bagi membolehkan BN mempertahan kerusi DUN Pelangai.
“Kemenangan itu secara tidak langsung akan menghapuskan gelombang hijau yang bersifat sementara dan kini semakin reda,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Petugas PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Hotel Thistle, di sini semalam.
Mohamad berkata, semangat perpaduan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan pada PRK di Johor sebelum ini akan dibawa ke pada PRK DUN Pelangai dan berharap semangat ahli UMNO dan sokongan akar umbi kembali pulih.
“Bila saya cakap begitu memang lah nampak pelik, sebab saya berlawan dengan UMNO, BN lebih 44 tahun, sekarang ini saya mahu UMNO pulih pula.
“Tetapi itulah kehendak kita, sebab apabila kita berkawan, kita mesti mahu kawan kita turut menjadi kuat, oleh itu apabila PH dan BN jadi kuat, kita mampu terus mentadbir bagi tempoh empat tahun lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE