SHAH ALAM – Polis Selangor menjalankan siasatan berhubung video seorang wanita didakwa dipukul anggota polis negeri ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, hasil semakan mendapati video tersebut adalah video lama yang telah ditularkan semula.
Katanya, video berdurasi satu minit 26 saat telah dimuat naik semula seorang pemilik akaun instagram kira-kira pukul 12 tengah hari semalam selepas kali pertama dikesan pada 29 Ogos lalu.
“Semakan mendapati penjawat awam itu merupakan anggota polis bertugas di kontinjen Selangor dan sedang menjalani cuti sakit disebabkan lumpuh separuh badan.
“Kita telah membuka kertas siasatan tatartertib dan siasatan masih dijalankan memandangkan tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sasikala menjelaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama melibatkan anggota atau pegawai polis di negeri ini.
“Tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya. -KOSMO!ONLINE