BANGKOK – Pejabat Ekonomi Pertanian Kementerian Pertanian dan Koperasi Thailand menjangkakan berlakunya penurunan dalam pengeluaran beras untuk musim menuai tahun ini hingga 2024, didorong oleh kesan fenomena El Nino, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Kejatuhan yang diramal adalah kira-kira 871,000 tan, iaitu pengurangan sebanyak 3.27 peratus, menjadikannya 25.8 juta tan beras.
Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Ekonomi Pertanian, Tantita Bunyamaneekul sebelum itu menyatakan bahawa penurunan kawasan penanaman padi negara untuk musim tanaman 2023/2024 adalah berjumlah 99,840 kilometer (km) persegi.
Ia merupakan pengurangan sebanyak 963.2 km persegi atau 0.96 peratus daripada tahun sebelumnya.
Keluasan kawasan tuaian pula diunjurkan sekitar 95,360 km persegi, iaitu pengurangan sebanyak 505.6 km persegi atau 0.53 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pengurangan kawasan penanaman itu sebahagian besarnya disebabkan oleh perubahan keadaan cuaca yang mengakibatkan ketiadaan hujan.
Jabatan Meteorologi Thailand berkata, taburan hujan untuk musim tanaman tahun ini diramal lebih rendah berbanding tahun lepas.
Sepanjang pertengahan Jun hingga pertengahan Julai lalu, Thailand menyaksikan defisit hujan yang menyebabkan kekurangan air dalam pertanian, terutamanya di kawasan kering yang tidak berair.
Ia menyebabkan ada petani yang membiarkan sawah mereka terbiar, manakala yang lain hanya menguruskan satu tanaman padi, selain risiko serangan penyakit dan makhluk perosak.
Dalam pada itu, harga beras menyaksikan peningkatan stabil sejak awal 2022 untuk padi beras wangi Thai hom mali atau jasmin, padi pulut dan padi yang mengandungi 15 peratus lembapan.
Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, harga purata padi Thai hom mali adalah 14,226 baht (RM1,855) bagi satu tan, peningkatan 13.3 peratus tahun ke tahun.
Harga purata padi 15 peratus lembap pula adalah 10,499 baht (RM1,369) setiap tan, meningkat 20.6 peratus, manakala purata harga padi pulut adalah 11,657 baht (RM1,520) setiap tan, menaik 27.7 peratus.
Tujuh bulan pertama tahun ini juga menyaksikan peningkatan dalam kuantiti dan nilai eksport beras Thailand berbanding tempoh sama pada 2022.
Tantita menyifatkan kenaikan harga beras domestik disebabkan oleh kebimbangan yang semakin meningkat berhubung fenomena El Nino dan potensi kesan negatifnya terhadap pengeluaran beras.
Selain itu, penurunan dalam pengeluaran beras di China dan sekatan eksport dari India yang merupakan pengeksport terbesar dunia telah mewujudkan peluang bagi Thailand untuk meningkatkan eksport berasnya, lapor akhbar Bangkok Post. – AGENSI