fbpx

Op Khas Motosikal: 14,527 notis saman babit warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman ketika Operasi Bersepadu di LRT Bangsar, di sini malam ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 14,527 notis kepada pemandu warga asing (Pewa) atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang 20 hari Op Khas Motosikal 2023 dijalankan di seluruh negara.

Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, berdasarkan kepada rekod notis dikeluarkan, kesalahan utama yang dikesan adalah sebanyak 6,268 saman berikutan tiada lesen memandu yang sah (43.1%) dan 2,667 tiada perlindungan insurans (18.4%).

Seterusnya, sebanyak 2,657 lesen kenderaan motor (LKM) yang telah tamat tempoh (18.3%) dan 1,948 lain-lain kesalahan teknikal (13.4%).

“Sebanyak 14,527 notis saman dikeluarkan terhadap warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas di seluruh negara dan kita memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya terutamanya PeWA yang melanggar peraturan.

“Mereka yang tidak mempunyai lesen memandu serta tiada perlindungan insurans ini tidak memahami tentang undang-undang jalan raya dalam negara kita. Jadi, mereka ini adalah satu bentuk risiko yang paling tinggi kepada pengguna jalan raya lain,” katanya ketika sidang akhbar di LRT Bangsar, di sini, malam ini.

Tambah beliau, tindakan tegas akan dilaksanakan dari masa ke semasa bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dalam negara dengan menyita kenderaan mereka sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen (JIM).

“Pada hari ini, JPJ Kuala Lumpur telah mengadakan Operasi Bersepadu bagi membudayakan pematuhan undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya khususnya kesalahan yang menjadi punca utama kepada kemalangan maut.

“Dalam operasi hari ini, seramai 100 anggota terlibat termasuk 66 anggota JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) (8) , JIM (13),”katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI