fbpx

Malaysia siap siaga hadapi musim banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan banjir teruk berlaku di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada hujung tahun 2021 akibat hujan lebat berterusan.

PETALING JAYA – Kerajaan bersedia untuk menghadapi sebarang kejadian banjir atau bencana lain disebabkan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang ekoran fasa peralihan monsun yang dijangka berterusan sehingga November tahun ini.

Antara langkah drastik ialah menteri terutamanya yang bertanggungjawab bagi menangani bencana tidak digalakkan bercuti atau pergi ke luar negara dalam masa terdekat.

Selain itu, bantuan untuk mangsa-mangsa banjir tidak akan dikurangkan meskipun berlaku kenaikan harga barangan ketika ini.

Di Kuching, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu diambil kerajaan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

“Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), peralihan monsun ini dijangka bermula dari 19 September lalu dan berlarutan hingga November ini,” katanya pada program Walk-A-Mile sempena World Heart Day 2023 di Pustaka Negeri semalam.

Nancy memberitahu, ketika ini, banjir dilaporkan berlaku di tiga negeri iaitu Sabah, yang merekodkan bilangan mangsa tertinggi seramai 228 orang daripada 72 keluarga, diikuti Perak (37 orang daripada sembilan keluarga) dan Sarawak (33 orang daripada tujuh keluarga).

“Pegawai kami sentiasa bersedia di lapangan dengan peralatan, makanan dan minuman. Inilah persiapan kerana kita tahu bahawa banjir akan berlaku,” ujarnya.

Nancy berkata, bantuan kepada mangsa banjir masih dikekalkan tanpa sebarang pengurangan walaupun negara menghadapi masalah kenaikan harga barang ketika ini.

“Bantuan tidak akan dikurangkan walaupun harga barang me­ningkat, sumbangan akan disa­lurkan berdasarkan apa yang kita sentiasa berikan sebelum ini,” katanya.

Di Seberang Perai, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir susulan musim tengkujuh yang dijangka melanda tidak lama lagi.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjadi tanggungjawab rutin kementerian bagi mendepani sebarang kemungkinan.

“Sekiranya ada apa-apa isu, maknanya kita telah menyiapkan sebahagian besar mekanisme dan pusat pemindahan sementara (PPS) yang sudah sentiasa bersedia khususnya sekolah-sekolah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung persediaan KPM susulan musim hujan yang melanda beberapa negeri.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Bagan Serai melakukan sukatan paras air di Kilometer 15, Jalan Selama-Alor Pongsu, Bagan Serai semalam.

Di Ipoh, kejadian banjir terutama di beberapa kawasan di daerah Kerian disebabkan taburan hujan luar biasa sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Ahmad Shahrir Md. Naziri berkata, taburan hujan di kawasan terbabit menunjukkan kala ulangan purata 50 tahun ARI (Purata Selang Ulangan).

“Kita lihat kebanyakan banjir berlaku di kawasan sungai yang tidak lebar.

“Kebiasaannya kapasiti su­ngai-sungai ini antara 2 hingga 5 tahun ARI sahaja. Bayangkan 50 tahun ARI yang datang, jadi pastinya keupayaan sungai tidak mampu menampungnya,” kata­nya pada Sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 peringkat negeri Perak semalam.

Pada Jumaat lalu, Ketua Pe­ngarah MetMalaysia, Helmi Abdullah dilaporkan berkata, semasa fasa peralihan monsun, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah melibatkan pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah dan kawasan barat dan tengah Sarawak.

Jelas beliau, kebiasaannya fasa peralihan monsun berlaku di antara pertengahan September sehingga November sebelum beralih ke Monsun Timur Laut.

Keadaan itu akan menyebabkan berlaku kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang pada waktu petang hingga awal malam selain angin pu­ting beliung dan hujan batu.

“Corak cuaca berpotensi me­ngakibatkan banjir kilat, tanah runtuh, kepala air, pokok tumbang, panahan kilat dan kerosakan struktur tidak kukuh,” katanya.

Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus pula dilaporkan berkata, pihaknya sentiasa bersedia menghadapi risiko bencana banjir di seluruh negara termasuk di kawasan bukan hotspot.

Tambahnya, Nadma turut mengemas kini aset mereka dalam pengurusan bencana termasuk untuk tujuan penambahbaikan sistem amaran awal menerusi peruntukan RM150 juta oleh kerajaan dalam Belanjawan 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI