fbpx

Mahkamah: Pendakwah bebas hina Sultan Selangor dijel 9 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin menjalani hukuman penjara sembilan bulan atas kesalahan menerbitkan perkataan menghasut dan menghina Sultan Selangor, hampir 11 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara menolak rayuan akhir Wan Ji terhadap sabitan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuannya terhadap hukuman dan mengetepikan penjara setahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Julai 2019.

Dengan keputusan itu, Wan Ji, 41, diperintah menjalani hukuman penjara sembilan bulan bermula hari ini. Keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 9 April 2018, dikembalikan.

Hakim Hadhariah ketika membacakan keputusan itu berpuas hati, rayuannya terhadap sabitan tidak mempunyai merit kerana terdapat banyak keterangan yang menunjukkan perayu (Wan Ji) adalah pemilik laman Facebook tersebut.

Pada hemat panel itu, tidak ada apa-apa yang salah mengenai Akta Hasutan 1948 yang didakwa oleh perayu (Wan Ji) sebagai tidak berperlembagaan.

“Kebebasan bersuara tidak bermaksud kita boleh bercakap sesuka hati. Perkataan yang dikatakan dalam hantaran Facebook tersebut memang tidak sesuai.

“Kalaulah kita ini genius sekali pun dalam bab agama, jangan kita meperlekehkan orang lain. Lagi pandai, kita kena lagi tunduk.

“Kalau hendak bagi nasihat agama sekalipun, guna perkataan yang baik-baik barulah orang dengar. Jangan guna perkataan tidak sesuai terutama terhadap Sultan Selangor kerana sekarang ada 3R (agama, raja, perkauman). Hati-hati dengan perkataan sensitif ini,” ujar hakim itu.

Hakim Hadhariah selanjutnya berpendapat, kebebasan bersuara bukan hak mutlak untuk seseorang bercakap sesuka hati kerana masih ada batas yang perlu dijaga.

Dalam prosiding itu, peguam Muhammad Faiz Fadzil mewakili Wan Ji manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya How May Ling.

Wan Ji didakwa menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, pada 10 pagi, 5 November 2012.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI