fbpx

Mahkamah: Keputusan petisyen Parlimen Masjid Tanah 27 Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini menetapkan 27 Oktober ini sebagai tarikh keputusan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pempetisyen memohon untuk menutup kes kerana gagal mengemukakan saksi penting untuk perbicaraan.

Peguam pempestisyen, Rosfinah Rahmat berkata, dia menerima laporan dari Balai Polis Ampang bahawa waran tangkap terhadap Pengerusi Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Akmal Zahin Zainal Zahir gagal diserahkan kepada individu berkenaan.

Katanya, polis telah banyak kali cuba untuk menyerahkan waran tersebut, tetapi gagal yang mana kali terakhir dibuat pada 11 September lalu.

“Akmal Zahin seperti dalam bukti-bukti video menunjukkan bahawa pemberian wang dilakukannya dan dia adalah saksi penting kita, jadi hari ini kerana tidak dapat melaksanakan waran tangkap tersebut, maka kami menutup kes.

“Mahkamah menetapkan tiga tarikh penting iaitu hujahan pihak-pihak secara bersama pada 9 Oktober ini sementara jawapan hujahan pada 16 Oktober dan keputusan akhir pada 27 Oktober,” katanya kepada pemberita selepas prosiding mahkamah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Mahkamah Tinggi Melaka pada 7 Februari lalu menolak petisyen pilihan raya difailkan Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah dengan kos sebanyak RM20,000.

Susulan pembatalan itu, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis mengisytiharkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin kekal sebagai penyandang kerusi dan beliau telah dipilih secara sah dalam PRU15 pada 19 November 2022.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 2 Mei lalu memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Masjid Tanah dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Sementara itu, peguam yang mewakili Mas Ermieyati, Mohd. Faizi Che Abu berkata, beban untuk mengemukakan saksi sebenarnya terletak pada pihak pempetisyen.

Jelasnya, ini kerana Akmal Zahin dianggap sebagai saksi pempetisyen kerana pihak terbabit yang mendakwa individu tersebut terlibat dengan aktiviti sogokan.

“Adalah tidak adil minta Mas Ermieyati untuk bawa saksi sokong pempetisyen dan dari segi undang-undang siapa yang mendakwa, dia yang kena buktikan.

“Dalam kes ini mereka dakwa Akmal Zahin bagi duit dan dakwa Yang Berhormat (Mas Ermieyati) adakan jamuan sebagai rasuah, jadi dia (pempestisyen) kena buktikan benda itu dan berkaitan dengan Akmal Zahin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI