SHAH ALAM – Seorang jurutera kanan sebuah syarikat swasta menangis ketika menukar pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tuntutan kerja luar dalam negara, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Anita Harun kemudiannya menjatuhi denda sebanyak RM13,622 terhadap tertuduh, Mohammad Khuzairee Ibrahim yang berusia 41 tahun.
Dalam penghakimannya, Anita menegaskan keputusan ini adalah satu contoh terhadap kesalahan dilakukan tertuduh.
“Ini juga buka jalan baharu kepada (kehidupan)kamu. Saya dapat merasakan keikhlasan kamu semasa rayuan. Harus ingat dalam hidup ini, hanya kamu mengawal kehidupan sendiri (bukan orang lain),” tegasnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani penjara 13 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Mohammad Khuzairee membayarnya.
Selain itu, wang jaminan RM8,000 dan pasport diserahkan semula kepada penjamin dan tertuduh.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Mohammad Khuzairee didakwa dengan curang telah menggunakan enam dokumen berlainan yang palsu sebagai tulen di dalam tuntutan kerja luar dalam negara di sebuah pejabat di Petaling Jaya pada 25 Januari dan 15 Mac 2018.
Terdahulu, pada prosiding lebih sejam bermula pukul 10.45 pagi itu, Mohammad Khuzairee secara peribadi memohon agar tiada liputan daripada wartawan atas alasan peribadi yang sangat sensitif sebelum rayuan mitigasi dilakukan peguamnya, Nurainaa Izzati Mohd. Shukor.
Permohonan itu dibenarkan mahkamah dengan mengeluarkan perintah tiada laporan berkaitan mitigasi tertuduh.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Aliff Shaharuzaman memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam mengatasi individu.
“Kesalahan ini adalah serius dan telah menjadi barah dalam masyarakat ketika ini,” jelasnya. – KOSMO!ONLINE