fbpx

LTdL 2023 : Giant Cycling Team terkejut van pasukannya terbalik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pelumba melepas sebuah van yang dinaiki tiga pelumba pasukan Giant Cycling Team terbalik selepas kemalangan di zon neutral laluan perlumbaan di Jeli, Kelantan. - AMIR KHALID

PENGURUS pasukan Giant Cycling Team, Song Guo Qiang bukan sekadar bimbang mengenai keselamatan pasukannya malah turut risau mengenai pemandu van dari Malaysia yang terlibat dalam insiden kemalangan Peringkat 3 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 di Jeli- Baling, pagi tadi.

Jawatankuasa LTdL 2023 mengesahkan bahawa van pasukan Giant Cycling Team terbalik sebelum perlumbaan peringkat ketiga dari Jeli ke Baling hari ini adalah berpunca daripada pemandu hilang kawalan.

Kemalangan berkenaan berlaku di kilometer 34 menuju ke Baling ketika van berkenaan membawa tiga pelumba Giant dan seorang staf pasukan terlajak daripada tempat permulaan perlumbaan yang terletak di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Bagaimanapun, Guo Qiang bersyukur apabila ketiga-tiga pelumbanya yang berada dalam van tersebut tidak mengalami kecederaan serius.

“Kejadian seperti ini adalah amat jarang berlaku, di pihak kami, kami juga tidak ingin perkara sebegini berlaku, tetapi saya percaya pihak penganjur akan memberikan penjelasan sewajarnya kepada saya.

“Ketika kejadian, tiga orang pelumba saya berada di dalam van itu. Mereka telah pun dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan selepas imbasan dilakukan, mujur tiada kecederaan serius.

“Untuk perlumbaan esok, saya sedang menanti laporan perubatan penuh dan melihat keadaan pelumba saya sendiri, tetapi apa pun kami masih akan tetap meneruskan perlumbaan. Jika boleh, saya mahu sekurang-kurangnya ada dua pelumba yang boleh mengikuti perlumbaan.

“Saya bukan sahaja risaukan nyawa tiga pelumba saya, tetapi pemandu kami. Bila dimaklumkan tiada kemalangan jiwa dan tiada kecederaan serius, saya lega kerana nyawa adalah lebih penting. Memang saya berasa kesal kerana keadaan seperti amat jarang berlaku.

“Pasukan Giant Cycling Team sudah lama menyertai saingan LTdL, kerana saingan ini adalah antara perlumbaan yang terbesar di Asia. Saya pula mula membawa pasukan ini ke Langkawi sejak 2017, 2018, 2019 dan kami kembali semula ke sini pada 2023,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI