JAKARTA – Seorang lelaki di Merawang, wilayah Kepulauan Bangka Belitung ditangkap penduduk setempat ketika mencuri wang di dalam tabung sebuah masjid sambil membawa anak dan isterinya, lapor laman berita iNews kelmarin.
Robby Sugara, 25, melakukan perbuatan tersebut Khamis lalu.
Ketika kejadian, dia sedang mencuri wang tabung amal Masjid Kampung Pagarawan sambil aksinya dirakam sistem kamera televisyen litar tertutup (CCTV).
Robby kemudian mengaku tidak mempunyai pekerjaan selepas diberhentikan ketika bekerja dalam bidang perlombongan.
Ketika disoal siasat polis, Robby mengaku pernah melakukan perbuatan serupa di beberapa masjid lain di Tempilang, Belinyu, Sungailiat dan Merawang.
Dia juga kerap membawa anak dan isterinya menaiki motosikal ketika mencuri.
Wang itu digunakan untuk keperluan harian termasuk membayar sewa penginapan.
“Kadang kala, isinya (tabung masjid) adalah 300,000 rupiah (RM91) atau 200,000 rupiah (RM60.81). Namun, ada masanya hanya 100,000 rupiah (RM30.40) atau kurang daripada itu,” ujar Robby.
Sementara itu, Ketua Polis Merawang, Inspektor Teguh Widodo mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu, Robby serta isteri dan anaknya kini berada di balai polis.
“Benar, kami mendapat laporan daripada penduduk mengenai kes kecurian tabung Masjid Pagarawan. Pasangan suami isteri dan seorang anak itu ditahan di Balai Polis Merawang,” katanya. – AGENSI