MADRID, Sepanyol – Sekurang-kurangnya 40,000 orang berhimpun di Madrid semalam kerana membantah kemungkinan kerajaan memberi pengampunan kepada individu yang terlibat dalam usaha memisahkan wilayah Catalonia dari Sepanyol enam tahun lalu.
Akhbar The Guardian melaporkan, isu pengampunan pesalah yang memecahbelahkan rakyat itu muncul apabila parti yang memperoleh undian tertinggi, gagal membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum Julai lalu.
Parti konservatif, Parti Rakyat (PP) berjaya menewaskan parti Pekerja Sosialis Sepanyol (PSOE) yang memerintah, namun gagal mendapat sokongan majoriti di Parlimen.
PP yang diketuai Alberto Nunez Feijoo gagal mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk membentuk kerajaan baharu pada sesi undian Kongres minggu ini.
Undian sebaliknya memihak kepada PSOE yang diketuai oleh pemangku Perdana Menteri, Pedro Sanchez.
Bagaimanapun, bagi membentuk sebuah kerajaan baharu, Sanchez perlu mendapatkan sokongan parti prokemerdekaan Catalonia yang diketuai bekas presiden wilayah Catalonia, Carles Puigdemont.
Puigdemont melarikan diri dari Sepanyol enam tahun lalu untuk mengelak daripada ditahan atas dakwaan mengetuai desakan kemerdekaan secara unilateral sekali gus menyalahi undang-undang.
Puigdemont berkata, beliau akan memberi sokongan kepada PSOE dengan syarat pengampunan diberi kepada dirinya dan ratusan warga Catalonia yang dikehendaki mahkamah Sepanyol.
Sanchez telah mengampuni sembilan pemimpin kemerdekaan Catalonia yang disabitkan bersalah dua tahun lalu.
Protes oleh PP semalam bertujuan membantah pengampunan tersebut. PP mengambarkan pemimpin PSOE sebagai pengecut dan ingin mengumpul penyokong supaya dapat kekal memerintah.
Dalam ucapannya kepada orang ramai, Feijopo menuduh Sanchez tiada integriti moral dan menjatuhkan maruah demokrasi Sepanyol. – Agensi