IPOH – Laluan penerbangan Ipoh-Langkawi digantung buat sementara waktu, bukannya ditamatkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, dengan merujuk kepada syarikat penerbangan AirAsia dan pihak Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) sendiri, laluan tersebut hanya digantung buat sementara waktu.
Tambahnya, pengoperasian semula laluan penerbangan itu masih belum dikenalpasti dan memerlukan kajian daripada pihak-pihak tersebut.
“Sebarang laluan adalah di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan dalam menentukan potensi laluan baru di LTSAS ke lain-lain destinasi atau sebaliknya dan juga dengan kerjasama dan kelulusan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Steven Tiw Tee Siang (DAP-Tronoh) yang bertanyakan tentang laluan tersebut dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Kata Sze Yee, buat masa ini, syarikat penerbangan yang beroperasi di LTSAS adalah AirAsia dan Flyscoot. – KOSMO! ONLINE