KUMPULAN JL99 yang mula bertapak sejak tahun 1995 mengakui menempuh situasi ketidaktentuan pasaran hartanah dan perumahan sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun 2020.
Bagi mencari kelainan dan terus berdaya saing dalam suasana industri mencabar kini, pemaju hartanah tempatan itu mengorak langkah membangunkan projek kediaman eksklusif mampu milik dengan pelbagai fasiliti menarik.
Syarikat kini sedang membangunkan JL Legacity @ KL North di Jalan Kuching, bersebelahan Bulatan Batu Caves dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM2 bilion.
Projek itu meliputi tiga fasa pembangunan termasuk dua apartment perkhidmatan mewah dan mampu milik iaitu 99 Residence dan 99 Legend di atas tanah seluas 1.71 hektar.
Wartawan Kosmo!, Iskandar Shah Mohamed menemu bual Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Jeff Lee yang berkongsi mengenai visi syarikat selepas melancarkan projek terbaharunya kelmarin.
KOSMO!: Boleh ceritakan serba sedikit mengenai JL Legacity yang merupakan projek pembangunan berskala besar syarikat di ibu negara?
LEE: Fasa pertama pembangunan ini dikenali sebagai 99 Residence iaitu sebuah apartmen perkhidmatan kediaman mewah dan mampu milik yang dijangka siap menjelang Disember ini.
Sementara itu, projek fasa kedua, 99 Legend pula merupakan projek apartmen perkhidmatan kediaman eksklusif, premium dan mampu milik yang kini dalam proses pembinaan.
Cadangan pembangunan fasa ketiga pula melibatkan projek pembangunan bercampur yang terdiri daripada menara kediaman, ruang runcit, pejabat, suite, hab pendidikan dan sky restaurant (restoran aras bumbung).
Apakah antara ciri-ciri menarik projek 99 Legend?
Ia adalah projek fasa kedua yang terdiri daripada pembangunan 57 tingkat dengan 1,214 unit pangsapuri, termasuk lima penthouse dengan GDV berjumlah RM729 juta.
Projek ini dilengkapi 55 jenis kemudahan premium dan mewah seperti dua kolam renang, bilik wayang eksklusif, tapak glamping, gimnasium mewah dan golf putting green.
Berkonsepkan kediaman eksklusif pada harga berpatutan, 99 Legend juga menyediakan ciri seperti butang lif tanpa sentuh, ruang pengecas kenderaan elektrik (EV), penapis air berpusat dan bilik penghantaran tanpa sentuhan.
Adakah syarikat melihat untuk membeli tanah baharu?
Setiap pemaju perumahan semestinya mahu memastikan projek yang dibangunkan habis terjual.
Justeru, syarikat menitik beratkan faktor nilai tanah dan kesesuaian lokasi pembinaan bagi mengelak berlakunya situasi unit tak terjual (overhang) pada masa hadapan.
Kami setakat ini tiada perancangan membeli tanah baharu, namun akan sentiasa mencari peluang untuk membangunkan projek perumahan berdaya huni dan mampu milik.
Bagaimana prospek pasaran hartanah tahun ini dan apa jenis pembangunan yang dilihat mendapat sambutan?
Saya mendapati pasaran hartanah tempatan kini tidak lagi serancak seperti sebelum pandemik. Antara isu yang mengekang industri ialah berkaitan faktor pinjaman bank yang mana pembeli tidak kesemuanya mendapat pinjaman secara penuh dan perlu membayar deposit.
Pada masa sama, pemaju boleh memilih untuk membangunkan semua jenis kediaman sama ada murah atau mewah, namun mereka perlu melihat kepada beberapa faktor seperti nilai tanah, kos bahan binaan dan semestinya soal lokasi.
Bagaimana sambutan pembeli muda bagi projek yang dibangunkan syarikat?
Semua projek perumahan kami menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 20 peratus pembeli daripada golongan muda.
Golongan ini dilihat lebih mengutamakan kediaman selesa yang bersaiz sederhana dan dilengkapi semua fasiliti yang diperlukan, namun pada harga mampu milik.
Biarpun kebanyakan mereka menggunakan gabungan dua nama bagi mendapatkan pinjaman perumahan, mereka dilihat berpuas hati apabila dapat memiliki kediaman sendiri yang eksklusif dan berbaloi untuk wang mereka.