PETALING JAYA – Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, pasangan Noor Nabila dan Engku Emran Engku Zainal Abidin hari ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada pukul 12.50 tengah hari tadi.
Reda menyifatkan perceraian bersama Emran sebagai takdir yang tertulis, kakak kepada pengacara dan juga usahawan popular, Neelofa itu pada masa sama bersyukur perpisahannya dengan bekas suami berakhir dengan baik.
“Semua ini adalah takdir untuk saya lalui. Saya mohon doa daripada kalian supaya saya dan anak (Jebat Jayden) diberikan kekuatan untuk melalui masa sukar ini.
“Semoga Allah SWT berikan ketenangan dan kebahagiaan dalam jiwa saya. Sudah tentu bukan mudah (bercerai), namun saya reda dengan ketentuannya,” kata Nabila.
Dalam pada itu, Nabila atau nama lengkapnya Noor Nabila Mohd. Noor, 39, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang selama ini sentiasa bersamanya dalam memberi sokongan emosi dan mendoakan segala urusannya.
“Terima kasih kepada yang sentiasa bersama saya dan memberi sokongan emosi serta mendoakan urusan saya dipermudahkan.
“Saya berharap dan berdoa supaya kita semua sentiasa dikurniakan kebaikan yang berlipat kali ganda, malah lebih daripada apa yang kita impikan. Semoga Allah sentiasa menggerakkan hati kita kepada apa yang sememangnya tertulis untuk kita, bukan sebaliknya,” ujar Nabila.
Minggu lalu, Nabila mendedahkan bakal mengakhiri perkahwinannya bersama Engku Emran selepas lelaki itu menyatakan hasrat untuk tidak lagi meneruskan hubungan rumah tangga mereka.
Pasangan itu berkahwin pada 19 Mac 2021. Sebelum menikahi Nabila, Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi, Erra Fazira dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya.
Engku Emran juga pernah berkahwin dengan pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Sementara itu, Nabila pernah berkahwin dengan Sharnaaz pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden. – KOSMO! ONLINE