BALIK PULAU – Pelancong wanita warga Singapura yang maut dalam kejadian van persiaran terbabas ke cerun bukit di Jalan Teluk Kumbar, Bukit Genting, malam tadi telah dikenal pasti sebagai Lee Kwee Yiam, 62.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa akan dibedah siasat pada pukul 2 petang ini di Jabatan Forensik Hospital Balik Pulau.
Menurutnya, kesemua mangsa menaiki sebuah van persiaran yang disewa daripada pemandu van warga tempatan yang turut tercedera dalam kemalangan berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 8.35 malam semalam, pemandu van tersebut memandu van milikan sendiri dengan membawa 10 pelancong Singapura dari sebuah restoran di bukit tersebut.
“Ketika van hendak menuruni bukit Jalan Genting, pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas jatuh gaung,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kemalangan malam tadi, seorang pelancong wanita warga Singapura maut selepas van persiaran yang dinaikinya terbabas dari cerun di Bukit Genting di sini.
Beliau memberitahu lagi, siasatan awal di tempat kejadian mendapati lokasi kemalangan adalah jalan sehala dan permukaan tidak rata. – KOSMO! ONLINE