PETALING JAYA – Setelah jatuh sakit selama enam tahun sehingga terlantar dan tidak mampu berjalan, kehidupan seorang suri rumah bertukar menjadi gelap apabila disahkan menghidap kanser tiroid tahap empat.
Walau hampir berputus asa, Noor Patihah Mohd., 33, tetap tabah demi membesarkan empat orang anaknya, Nur El Fara Fisha Abdullah, 16, Nur El Fara Afisha, 14, Noor Syazzaitul Qaleysha, 11, dan Muhammad Iman Shah Muhammad Hanafi, 2.
Ujarnya, pada 2016 dia diuji dengan penyakit saraf selama lapan bulan hingga tidak mampu menguruskan diri dan hanya bergantung kepada suami dan anak-anak untuk sebarang urusan.
“Lepas itu, saya kembali kuat, boleh uruskan diri sendiri tetapi tidak boleh berjalan sampai sekarang kerana didiagnos dengan sindrom Guillain-Barre atau (GBS) iaitu gangguan neurologi yang mana keadaan sistem imun badan sendiri menyerang sebahagian sistem saraf periferi.
“Jadi saya hanya bergerak guna lutut. Pada 2021, saya dapat kad orang kelainan upaya (OKU).
“Setelah dua tahun menjalani rawatan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, saya dirujuk ke Institut Kanser Negara, Putrajaya. Waktu itulah saya didiagnos kanser tiroid tahap empat. Anak sulung terpaksa ponteng sekolah untuk temankan saya ke hospital.
“Sekarang, apabila buat imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), doktor dapati kuman telah merebak ke paru-paru dan tulang. Jadi saya perlu menjalani rawatan radioaktif iodin dos tinggi,” katanya di Bukit Mahkota, Bangi baru-baru ini.
Tambahnya, dengan hanya bergantung pada gaji suami, Muhammad Hanafi Shah Johan, 36, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan meraih RM1,200 sebulan, dirinya perlu mengikat perut bagi menampung kos rawatan hospital dan perbelanjaan anak-anak.
Katanya, setiap bulan dia perlu membelanjakan lebih RM500 untuk persekolahan anak-anak serta RM100 untuk membayar sewa rumah.
“Walaupun saya terima sumbangan zakat RM500 dan bantuan OKU RM400 setiap bulan, namun semuanya dibelanjakan untuk keperluan anak-anak.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 1099541100317017 atau hubungi Noor Patihah di talian 011-1104 2314.