PETALING JAYA – Akibat tidak menyiasat latar belakang suami yang juga seorang duda anak tiga, seorang wanita kini merana kerana suaminya yang disangka bertanggungjawab rupanya adalah biawak hidup.
Menurut perkongsian Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli, bukan semua lelaki mempunyai masalah sama.
Bagaimanapun, wanita diminta membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuat apa-apa keputusan sekiranya ingin berkahwin dengan duda.
“Kisahnya bermula apabila Siti (bukan nama sebenar) yang bekerja sebagai kakitangan awam di sekitar Lembah Klang dilamar seorang lelaki untuk dijadikan isteri.
“Namun, lelaki tersebut bukanlah teruna sebaliknya berstatus duda anak tiga,” jelasnya.
Disebabkan kesungguhan yang ditunjukkan oleh lelaki tersebut, Siti menerima lamarannya setelah berkali-kali diajak dan telah melangsungkan perkahwinan secepat mungkin.
“Selepas kahwin, barulah terdedah perangai sebenar suaminya. Nafkah untuk Siti tidak ada. Rumah kelamin pun menetap di rumah milik Siti.
“Paling teruk, suami hanya bayar bil eletrik sahaja. Barang-barang dapur, pakaian dan kosmetik Siti semuanya ditanggung sendiri,” katanya.
Menurut Fahmi, Siti akhirnya bertindak menghubungi bekas isteri suaminya untuk menyiasat sama ada suaminya banyak memberikan belanja kepada anak-anak sehingga tiada peruntukan untuk dirinya.
“Pada waktu itu, barulah Siti tahu rupanya nafkah anak yang diberi mengikut perintah Mahkamah tidaklah tinggi mana.
“RM200 sahaja sebulan untuk setiap seorang anak. Jadi, hanya RM600 sahaja nafkah anak. Bekas isteri pun berkata, dulu bercerai pun secara fasakh kerana suami gagal beri nafkah,” katanya.
Selepas kebenaran terserlah, kini Siti menyesal kerana tersalah langkah dan terlalu gelojoh ketika membuat keputusan.
Ulas Fahmi, ada beberapa perkara yang wanita perlu tahu sebelum berkahwin dengan lelaki yang berstatus duda.
“Biasanya seorang lelaki yang pernah bercerai akan ada anak. Jika ada, nafkah anak masih perlu ditanggung oleh lelaki tersebut.
“Sebagai wanita yang bakal berkahwin dengan duda, anda berhak tahu berapa jumlah yang diperintahkan tersebut. Siasat terlebih dahulu.
“Jika perintah nafkah anak hanya RM200 sebulan, percayalah, antara dua. Sama ada gajinya memang sedikit ataupun kedekut,” katanya.
Tambah Fahmi, ada banyak lagi perkara yang perlu wanita siasat sebelum mengikat tali perkahwinan, bukan hanya dengan duda, tetapi dengan mana-mana lelaki.
“Sekali lagi saya katakan, isu ini bukan bermaksud kahwin dengan lelaki duda ini teruk, cuma ada risiko yang seorang wanita perlu hadapi sebelum berkahwin.
“Kita semua diberi pilihan. Mempunyai hak untuk menilai sebelum membuat keputusan. Selebihnya, berserah kepada Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE