fbpx

Bangunan baru Institut Urologi, Nefrologi HKL mampu tampung 3 kali ganda pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha (tiga kiri) bersama Alexander (tiga kanan) melawat ke Kompleks Dewan Bedah, ICU dan Wad Tambahan Institut Urologi dan Nefrologi (Blok B) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Bangunan Blok B Institut Urologi dan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang akan mula beroperasi secara berfasa bermula awal bulan Oktober ini dijangka mampu menampung keperluan semasa dan masa hadapan.

Bangunan baru tujuh tingkat ini dilengkapi dengan fasiliti Unit Rawatan Rapi Urologi dan Nefrologi, Unit Hemodialisis, Wad Pergantungan Tinggi, Wad Am serta Dewan Bedah berkonsepkan modular sepenuhnya yang pertama di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, dengan penambahan sebanyak 252 katil, ia mempunyai keupayaan untuk merawat jumlah pesakit sehingga tiga kali ganda.

Ujarnya, sebelum ini, bangunan tersebut tidak dapat menampung keperluan semasa ekoran penggunaan katil di wad telah mencapai 100 peratus walaupun katil tambahan telah disediakan.

“Sebelum ini, masa menunggu yang lama menyebabkan kelewatan dalam penerimaan rawatan dan adakalanya temujanji untuk prosedur atau pembedahan yang telah dirancang, terpaksa ditunda disebabkan kekurangan katil di wad.

“Dengan penambahan ini, ia melibatkan sebanyak 34 slot untuk Unit Akut Hemodialisis berbanding hanya 10 slot di bangunan sedia ada, 14 katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) berbanding tujuh katil di bangunan sedia ada dan pertambahan katil katil di Unit High Dependency (HDU),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, ICU dan Wad Tambahan di HKL, di sini, hari ini. Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Mengulas lanjut, Dr. Zaliha berkata, terdapat penambahan sebuah wad Nefrologi dengan 30 katil yang akan digunakan untuk pesakit Nefrologi termasuk penerima transplan buah pinggang.

“Selain itu, terdapat pertambahan katil sebanyak 26 buah katil bagi kegunaan wad kelas pertama yang akan dikongsi di antara Jabatan Urologi dan Nefrologi serta dilengkapi dengan lima buah mesin Modular Operating Theater (OT) dan ruang sokongan,” ujarnya.

Sementara itu, Alexander berkata, sebanyak 72 projek fasiliti kesihatan kini sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) bernilai lebih RM8.8 bilion.

Beliau berkata, sehingga 19 September, sejumlah 46 projek bernilai RM3.12 bilion berjaya diserahkan oleh JKR kepada KKM.

Jelasnya, seperti Projek Kompleks Dewan Bedah, ICU dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL), ia berjaya disiapkan pada 4 Ogos lalu dimana tiga hari lebih awal dari tarikh penyiapan sebenar.

“Projek bawah seliaan JKR ini dilaksanakan dengan kos sebanyak RM171 juta. Projek ini berjaya disiapkan lebih awal dari tarikh siap yang ditetapkan dengan penjimatan kos sebanyak RM 9 juta.

“Projek ini mencapai skor sebanyak 79 peratus dalam Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (QLASSIC) serta mendapat pengiktirafan empat bintang bagi Sistem Penilaian Keselamatan dan Keshatan Dalam Pembinaan (SHASSIC).

“Saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya KKM dan seluruh pasukan projek JKR, para perunding yang terlibat dalam proses rekabentuk dan pihak kontraktor,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI