fbpx

Remaja rancang percutian hujung minggu dikhuatiri lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi mencari mangsa di Pantai Teluk Senangin, Lumut ditangguhkan pada pukul 6.30 petang dan akan disambung semula, esok.

LUMUT – “Percutian kami ke Pantai Teluk Senangin bersama ahli keluarga yang lain dan rakan-rakan mangsa dicadangkan anak kerana dia pernah ke sini sebanyak tiga kali.”

Perkara berkenaan diluahkan Mohd. Fadzli Saad, 51, bapa remaja yang dikhuatiri lemas di pantai berkenaan, Muhammad Fahmi Hafizi, 19, ketika ditemui Kosmo!, di pantai tersebut petang tadi.

Dia berkata, mereka yang terdiri daripada kira-kira 15 ahli keluarga termasuk rakan-rakan mangsa, bermalam di sebuah chalet di pantai tersebut sejak semalam, bagi percutian hujung minggu dan dijadual pulang ke Pulau Pinang, hari ini.

Bagaimanapun, tragedi menimpa Muhammad Fahmi Hafizi apabila dia lemas ketika mandi di pantai tersebut bersama bapanya, abang sulungnya, Mohd. Faqrul Haziq, 23, dan tiga lagi rakan mangsa.

“Ketika kami sedang mandi, terdengar suara salah seorang saudara kami dari tepi pantai yang mengatakan anak telah dibawa ombak ke tengah pantai. Air laut yang berombak kuat menyebabkan anak hilang dari pandangan,” katanya, di sini hari ini.

Menurutnya, percutian mereka ke Pantai Teluk Senangin diatur sepenuhnya oleh Muhammad Fahmi Hafizi yang merupakan anak keduanya.

“Dia aturkan segala-galanya kerana dia pernah ke sini sebanyak tiga kali. Daripada tempahan dan bayaran, semua anak yang uruskan,” katanya yang turut memaklumkan, Muhammad Fahmi Hafizi bekerja sebagai seorang peniaga di Sungai Duri, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditangguhkan pada pukul 6.30 petang tadi dan akan disambung semula.

Katanya, pos kawalan bomba dikekalkan untuk membuat pemantauan pesisir pantai pada waktu malam.

Terdahulu, media melaporkan bahawa pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian seorang mangsa lelaki telah lemas ketika mandi di laut pada pukul 9.58 pagi.

Pencarian awal dilakukan anggota bomba di sekitar kawasan pesisir pantai dibantu oleh tiga buah bot nelayan.

Turut menyertai usaha SAR berkenaan termasuklah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI