MEDIA sosial Diva minggu ini penuh dengan tangkap layar video siaran langsung (live) Puteri Sarah dengan aktor Indonesia, Andi Arsyil Rahman.
Selepas beberapa bulan digosip menjalin hubungan cinta, akhirnya kelibat Andi muncul dalam live bersama Puteri Sarah.
Memang berlambak-lambak video muncul dan ‘babak’ paling dramatik ialah ketika ada netizen yang bertanya mengenai di mana bekas suami Sarah pada Andi dan terus membuatkan aktres itu merajuk sebentar sambil makan durian di tepi jalan.
Memang sepadanlah Diva tengok mereka berdua dan netizen juga mengakui hal sama yang rata-ratanya memberi restu sekiranya Sarah dan Andi benar-benar bercinta.
Kalau dua-dua solo, apa salahnya mencuba ya? Seronok juga kalau ada selebriti Malaysia lain yang mendirikan rumah tangga dengan artis Indonesia.
Apapun, bukan sahaja Diva, ramai yang mendoakan terbaik buat Sarah. Semoga bertemu lelaki yang lebih baik selepas ini ya.
DIVA: Paling pelik apabila Syamsul Yusof memuat naik foto buah durian dalam InstaStory. Adakah kebetulan atau sengaja?