TERENGGANU FC (TFC) tidak akan turun dengan corak bertahan bagi mengekalkan kelebihan dua gol pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia bertemu skuad Gergasi Merah malam ini.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, skuad Sang Penyu tetap mahu menggempur kubu The Red Giant bagi meraih tiket ke slot separuh akhir kejohanan berprestij itu.
“Kelebihan dua gol dimiliki daripada suku akhir pertama belum selesa buat kami, tiada istilah bertahan dan TFC mesti beraksi seperti biasa dan menambah jaringan.
“Sekiranya pemain mengekalkan disiplin dan fokus sepanjang permainan, tidak mustahil TFC mampu menamatkan aksi 90 minit selaku pemenang tanpa perlu dilanjutkan ke masa tambahan,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Pada suku akhir pertama di laman sendiri, minggu lalu, TFC meraih kemenangan berharga 2-0 hasil jaringan penalti Ivan Mamut serta tandukan Muhamad Syahmi Zamri dalam masa kecederaan.
Bagaimanapun, Steinbruckner mengakui gusar dengan tahap kecergasan anak-anak buahnya selepas mengharungi jadual padat kerana baru sahaja menentang Central Coast Mariners dalam saingan Piala AFC pada Rabu lalu.
Beliau mengakui, beberapa anak buahnya masih keletihan setelah beraksi setiap tiga atau empat hari.
“Kami akan membuat perhitungan dengan Selangor di laman sendiri pada 29 September kali ini bagi saingan Liga Super,” katanya.
Sementara itu, penyerang import TFC, Ivan Mamut mengakui tidak sabar untuk terus merobek pintu gol Selangor pada pertemuan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu nanti.
Penjaring terbanyak TFC dengan 16 gol dalam semua pertandingan itu berkata, beliau dan rakan sepasukan akan memberikan 100 peratus komitmen seperti dipamerkan ketika bertemu kelab Australia pada Rabu lalu.
“Tiada tekanan buat kami di Petaling Jaya dengan kelebihan dua gol kami hanya perlu mengekalkan rentak dan bermain seperti biasa, tidak mustahil boleh mengejutkan Selangor sekali lagi,” katanya.