WELLINGTON – Sepasang suami isteri warganegara New Zealand yang terpaksa berpindah tempat duduk selepas mengadu berasa tidak selesa duduk di tepi seekor anjing dalam penerbangan selama 13 jam, akhirnya diberi pampasan lebih SGD$1,400 (RM4,808).
Laman berita Fox Business melaporkan, Gill dan Warren Press ditempatkan di sebelah seekor anjing berbau ketika dalam perjalanan pulang menaiki pesawat Singapore Airlines, Jun lalu.
Pemilik anjing itu dikatakan gugup ketika menaiki pesawat, jadi dia memerlukan haiwan peliharaannya untuk berada disisinya.
Pasangan tersebut kemudian mengadu kepada seorang pramugari kerana tidak selesa dengan kehadiran anjing tersebut. Warren berkata, dia berasa terganggu apabila anjing itu duduk di kawasan tempat letak kakinya.
Apabila dimaklumkan bahawa terdapat tempat duduk kosong selain kelas ekonomi, pasangan itu pada awalnya menolak kerana sudah membayar mahal untuk harga tiket.
Bagaimanapun, mereka akhirnya meminta dipindahkan selepas anjing tersebut mula mengeluarkan bau busuk di dalam pesawat.
Pasangan itu kemudian menghubungi syarikat penerbangan tersebut untuk membuat aduan. Kedua-dua pihak berkomunikasi selama beberapa bulan sebelum syarikat itu akhirnya menawarkan untuk membayar pampasan. – Agensi