BESUT – Keseronokan dua rakan memancing udang berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat lemas setelah bot dinaiki mereka terbalik di Sungai Tok Gong di sini semalam.
Mayat Husin Jusoh, 46, dijumpai pada pukul 7.45 pagi tadi setelah lebih 24 jam dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, sebelum kejadian, mangsa dan seorang rakannya berusia 35 tahun keluar memancing udang di lokasi kejadian pada pukul 2.45 petang kelmarin.
“Bot yang dinaiki kedua-dua lelaki yang berasal dari Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh, Kelantan itu tiba-tiba dihanyutkan arus deras sebelum terkena sebatang kayu.
“Ia menyebabkan bot tersebut hilang keseimbangan lalu terbalik menyebabkan mereka tercampak keluar ke dalam sungai,” katanya di sini hari ini.
Abdul Rozak berkata, rakan mangsa sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.
Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui mayat Husin pada kedudukan kira-kira, 250 meter dari lokasinya kali terakhir dilihat sebelum tenggelam. – KOSMO! ONLINE.