ALOR SETAR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini melancarkan Sekretariat Anti Fitnah dalam usaha memerangi penyebaran maklumat palsu terutama berunsurkan fitnah di media sosial.
Menurut Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid, sejajar dengan itu Mapim bersama Pertubuhan Sukarela Rakyat Aman (Suara), Inisiatif Madani Rakyat Darul Aman (Imran) dan Tabayyun Media Network turut mengajak masyarakat membasmi fitnah yang didakwa sering tular di media sosial.
“Kita turut mengisytiharkan satu deklarasi sempena Seminar Membangun Masyarakat Berbudaya Tabayyun hari ini yang membincangkan tentang pentingnya masyarakat kita ini menjauhi gejala menyebar maklumat palsu dan perkara berunsur fitnah.
“Hal itu menjadi kefahaman tentang apa erti tabayyun dalam al-Quran supaya masyarakat mesti teliti, cermat dan tahu bagaimana kita nak menapis maklumat supaya tidak berlaku kekeliruan,” katanya selepas Seminar Membangun Masyarakat Berbudaya Tabayyun di sebuah hotel, di sini hari ini.
Katanya, penyebaran maklumat palsu yang membawa fitnah kepada pihak tertentu termasuk kerajaan di media sosial hari ini sangat membimbangkan dan dikhuatiri menggugat keharmonian masyarakat.
“Kita sangat khuatir dengan banyaknya trend menyebar maklumat palsu melalui media sosial. Masyarakat nampaknya tidak tidak begitu mengambil kisah tentang maklumat yang sebenar.
“Maklumat contohnya beras tak cukup dan tidak merujuk kepada pihak berkuasa dan apa yang dia lontarkan mengakibatkan panik,” jelasnya.
Menyentuh tentang deklarasi itu kata beliau, antara inti patinya ialah mengajak setiap masyarakat mengamalkan sikap tabayyun demi menjaga maruah dan kesatuan dalam hidup.
Tambahnya, Mapim bersama NGO terlibat juga akan bertindak memantau maklumat palsu terutama berunsur fitnah itu di media sosial selain bekerjasama dengan agensi kerajaan terlibat. – KOSMO! ONLINE