fbpx

Kembar berusia 69 tahun pakai baju sama setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
COLES dan Heffernan sering mengenakan pakaian sedondon meskipun telah berusia 69 tahun.

SAMA ada mereka fraternal atau seiras, kembar cenderung berkongsi ikatan istimewa sepanjang hayat mereka.

Bagaimanapun, kembar seiras merupakan kelahiran yang kurang berlaku.

Laporan daripada Klinik Cleveland, Amerika Syarikat menyatakan bahawa kembar seiras berlaku tiga hingga lima daripada setiap 1,000 kelahiran.

Sepasang kembar seiras mempunyai ikatan yang sangat kuat dan hal itu dibuktikan oleh sepasang kembar wanita dari Britain.

Kembar itu selama bertahun-tahun menunjukkan keakraban mereka dengan memakai pakaian sama setiap hari selama beberapa dekad.

Rosey Coles dan Kathy Heffernan adalah saudara kembar berusia 69 tahun yang menghabiskan waktu setiap hari bersama sambil memakai pakaian sama.

Kembar perempuan dari Hampshire itu memberitahu bahawa mereka tidak boleh berenggang.

Heffernan juga mengatakan bahawa dia serta kembarnya sering mendapat permintaan untuk bergambar ketika keluar bersama.

“Orang melihat kami dan meminta untuk mengambil gambar.

“Malah, ramai mengatakan bahawa mereka tidak pernah melihat kembar seusia kami bersama,” katanya.

Kedua-dua mereka mempunyai cermin mata, gaya rambut, baju tidur sama dan kini tinggal di rumah bersebelahan.

“Kami mempunyai rumah dengan susun atur sama. Skema warna yang digunakan juga sama pada masa ini iaitu kelabu,” kata Heffernan lagi.

Sementara itu, Coles memberitahu bahawa mereka telah menghabiskan kebanyakan hari bersama selama 23 tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, mereka telah menghabiskan 11 tahun bekerja bersama dalam perniagaan pembersihan mereka.

“Kami menaiki bas ke kampung, ke kafe dan kadang-kadang kami keluar dengan memandu,” katanya.

Pasangan itu berkata, mereka membesar memakai pakaian sama tetapi berhenti untuk mengenakan pakaian sepadan untuk sementara waktu apabila berkahwin dan berpindah.

Coles berkahwin pada tahun 1974 dan Heffernan pada tahun 1977, tetapi kedua-dua wanita itu berpisah dengan suami mereka pada tahun 2000.

Kembar itu semakin rapat antara satu sama lain pada tahun 2012, seterusnya mencetuskan pembaharuan trend pakaian sedondon.

“Kami memakai banyak pakaian panjang dan seluar jean serta mempunyai kot yang sama,” kata Heffernan.

Pasangan itu memberitahu, mereka tidak berdebat mengenai pilihan pakaian.

Sebaliknya, pasangan itu selalu diberitahu bahawa penampilan mereka sangat cantik ketika di khalayak ramai.

Coles berkata, mereka merancang untuk memakai pakaian sama sepanjang hayat, walaupun ketika pergi bercuti.

Pada Mei lalu, mereka melakukan pelayaran ke Perancis dan Sepanyol dengan mengenakan pakaian sepadan sepanjang perjalanan itu.

Mereka menyukai dan mempunyai banyak pakaian.

“Almari pakaian kami penuh sesak,” kata Heffernan.

Walaupun kadang-kadang sukar bagi orang lain untuk membezakan pasangan itu, namun kembar tersebut tidak ada masalah dengan perkara itu. Namun, mereka bersetuju bahawa ia agak ‘menakutkan’.

“Kami sangat serupa dan ia menyeramkan,” kata Coles.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI