BALIK PULAU – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang mengesahkan seramai sembilan pelancong warga Singapura terlibat kemalangan melibatkan sebuah van yang terjatuh dari ketinggian enam meter di Bukit Genting, malam tadi.
Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 8.14 malam tadi dan operasi menyelamat melibatkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau.
Menurutnya, operasi tersebut turut mendapat kerjasama dari BBP Balik Pulau.
“Apabila pasukan tiba ditempat kejadian didapati benar kemalangan melibatkan sebuah van yang membawa pelancong dari Singapura telah terbabas lalu jatuh ke dalam cerun bukit dengan kedalaman hampir 20 kaki (enam meter).
“Terdapat sembilan mangsa di dalam van berkenaan dan kerja-kerja menyelamat mangsa sedang dilakukan dengan dibantu oleh beberapa pasukan bomba sukarela berdekatan.
“Jantina dan status mangsa akan dikemas kini sebentar nanti,” katanya. – KOSMO!