BALIK PULAU – Seorang wanita warga Singapura disahkan terkorban dalam kejadian kemalangan melibatkan sebuah van persiaran yang terjatuh dari ketinggian enam meter di Bukit Genting, di sini malam ini.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Putih, N. Prenavaran berkata, mangsa dilaporkan maut selepas mengalami kecederaan parah, manakala 10 lagi mangsa warganegara sama terselamat.
Menurutnya, dalam kejadian itu, pemandu van warga tempatan turut dilaporkan terselamat.
“Mangsa terdiri 10 orang terdiri tujuh wanita dan tiga lelaki yang kesemuanya warga Singapura termasuk seorang pemandu van.
“Pasukan turun ke bawah gaung yang curam dengan bantuan orang awam dan keluarkan satu persatu mangsa. Keadaan di lokasi kejadian adalah licin dan gelap.
“Mangsa terakhir adalah seorang wanita yang ditemui masih hidup dan dalam keadaan tersepit di depan pemandu. Kami terpaksa guna peralatan khas,” katanya di sini, sebentar tadi.
Beritahu beliau, siasatan awal mendapati, van tersebut dipercayai tergelincir sebelum terjatuh di selekoh ketika hendak turun ke bawah.
“Mayat wanita tersebut dan dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pulau Pinang manakala tujuh lagi di Hospital Balik Pulau. – KOSMO! ONLINE