fbpx

Kedai aksesori kereta terbakar ketika kerja pendawaian elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba memadam kebakaran di sebuah kedai aksesori kereta di Wakaf Siku, Jalan Kuala Krai berhampiran pusat beli-belah KB Mall, Kota Bharu, hari ini. Foto ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Sebuah kedai aksesori di Wakaf Siku, Jalan Kuala Krai berhampiran pusat beli-belah KB Mall, di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku tengah hari tadi.

Kejadian tersebut disedari oleh pemilik premis berkenaan yang berusia lingkungan 40-an kira-kira pukul 1.20 tengah hari semasa sedang melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik pada sebuah kereta milik pelanggannya.

Saksi kejadian, Ismail, 43, berkata, semasa pemilik kedai itu sedang bekerja, kebakaran dipercayai berlaku di kawasan tengah premisnya.

“Saya lihat dia bergegas masuk ke dalam kedai untuk mengambil beg miliknya sebelum api semakin merebak. Keadaan itu menyebabkan dia terus menyelamatkan dua buah kereta milik pelanggan yang berada di depan kedainya.

“Orang awam yang berada berhampiran premis berkenaan segera menghubungi pihak bomba,” katanya ketika ditemui Kosmo!, di lokasi kejadian hari ini.

Pemilik premis berkenaan gagal ditemui di lokasi kejadian kerana panik dengan kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Zon Bomba Kota Bharu 1, Penguasa Kanan Bomba II, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.21 tengah hari.

Menurutnya, seramai 25 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu Tunjung dan Kota Darulnaim ke lokasi kejadian.

“Operasi pemadaman kebakaran dijalankan sehingga pukul 5 petang tadi di bangunan empat tingkat itu. Anggota bomba juga menggunakan tangga cakera putar untuk memadamkan api.

“Anggota bomba turut mendapat bekalan air daripada Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang berdekatan berikutan bekalan air dari pili bomba tidak mencukupi,” katanya.

Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI