JOHOR BAHRU – Tindakan dua sindiket cuba menyeludup 2,910,200 batang rokok putih pelbagai jenama tidak kesampaian apabila kegiatan mereka dapat dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam dua kejadian berasingan di Johor, Pahang dan Terengganu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Malaysia, Datuk Sazali Mohamad berkata, nilai rampasan rokok termasuk duti dan cukai untuk kedua-dua kes adalah RM3.9 juta.
Menurutnya, dalam serbuan pertama, anggota unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kastam Johor menahan sebuah lori perdagangan di Cawangan Eksport, Bangunan Sultan Iskandar di sini pada 6 September lalu.
“Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan dan hasil pemeriksaan rapi terhadap lori berkenaan menemukan sejumlah 830,000 batang rokok putih yang dipercayai belum lulus kastam untuk dibawa seludup masuk ke Singapura.
“Jumlah nilai rampasan rokok termasuk duti dan cukai adalah sebanyak RM730,400. Bagaimanapun kes ini telah selesai dengan suspek mengaku salah setelah dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 19 September dan dihukum penjara enam bulan dari tarikh ditangkap,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Menara Kastam di sini hari ini.
Sazali berkata, modus operandi sindiket pertama dengan tidak mengikrarkan rokok dengan niat menyeludup rokok tidak berkastan melalui lori dagangan ke negara jiran.
Sementara itu, beliau memberitahu, serbuan kedua pula dilakukan pada 12 September lalu selepas pihaknya melakukan risikan selama dua minggu sebelum berjaya mengesan tiga buah premis kediaman masing-masing di Jerantut, Pahang dan Marang, Terengganu dijadikan stor simpanan rokok seludup.
Ujarnya, sebanyak 2,080,200 batang rokok kretek dan putih pelbagai jenama dirampas bernilai RM3.2 juta termasuk cukai dan duti import.
Katanya, dalam serbuan kedua ini, modus operandi yang dikesan adalah sindiket menjadikan premis di kawasan kediaman sebagai tempat penyimpanan rokok yang belum lulus kastam yang dipercayai diimport dari luar negara termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Tambahnya, usaha bagi mengesan pemilik premis berkenaan sedang giat dijalankan.
Kedua-dua kes disiasat dan diambil tindakan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.-KOSMO! ONLINE