fbpx

Ditinggalkan tunang ‘liar’ bertukar jadi alim, antivaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZETTY geram apabila ditinggalkan begitu sahaja oleh Noah setelah berlaku perubahan mendadak pada lelaki itu. – GAMBAR HIASAN

MELANGKAH ke alam perkahwinan bersama orang tersayang merupakan salah satu impian yang ingin dikecapi pasangan bercinta.

Bagi Zetty (bukan nama sebenar), perkenalannya dengan Noah (bukan nama sebenar) merupakan satu detik indah yang tidak mampu diungkapkan.

Mereka bertemu di sebuah kelab malam ketika mereka sama-sama menuntut ilmu di sebuah institusi pengajian tinggi di London, England.

Pasangan itu suka berparti sehingga dikenali sebagai ‘party animal’ dalam kalangan kenalan mereka.

Akui Zetty, dia dan Noah kedua-duanya berasal daripada keluarga moden, kebaratan dan berfikiran terbuka.

“Antara sebab kami serasi adalah kami memiliki pandangan yang sama tentang dunia disebabkan latar belakang kami adalah lebih kurang sama.

“Jadi, hubungan kami selama lima tahun sebelum ini sangat lancar. Kami sudah bertunang dan asalnya merancang untuk berkahwin pada tahun depan,” katanya kepada Panorama.

Namun, menurut Zetty, sifat Noah berubah semenjak rakan baik mereka meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya selepas pulang dari kelab malam.

Mungkin kerana keakraban antara dua sahabat itu, Noah tiba-tiba menjadi murung dan suka bersendirian di dalam bilik.

ASALNYA Noah dan Zetty merupakan pasangan tunang yang suka berhibur dan hidup kebaratan.
– GAMBAR HIASAN

Sudah pelbagai usaha dilakukan termasuk mendapatkan khidmat psikiatri untuk memulihkan semula Noah yang dahulunya ceria dan kuat berjenaka.

Sebagai alternatif, keluarga Noah berpendapat untuk menghantar Noah ke kampung mereka di sebuah negeri di Pantai Timur untuk berubat secara islamik.

Zetty dan Noah tidak berhubung selama satu tahun untuk memberikan Noah sepenuhnya ruang untuk berubat dan pulih.

Bagaimanapun, Zetty terkejut melihat perubahan 360 darjah tunangnya pada pertemuan mereka di ibu kota baru-baru ini.

“Saya terkejut besar melihat dirinya sekarang. Sudah berserban, berbaju putih dan berjanggut panjang.

“Malah, dia tidak memandang ke arah saya ketika bercakap. Mungkin kerana pakaian saya yang dulu dikata ‘hot’, sekarang dah jadi satu sumber dosa di matanya,” luah Zetty.

Tambah Zetty, dia tidak menyangka kematian rakan mereka mengakibatkan perubahan drastik kepada tunangnya itu.

Bagi Noah, penyakit murung dialaminya sebelum ini merupakan satu hukuman terhadap kehidupannya yang bebas dan liar.

Pengalamannya bersama golongan beragama di kawasan pedalaman membantu dia memahami erti hidup berpaksikan akhirat semata-mata.

Kini, dia mahu mengikut tuan guru mereka untuk mengabdikan dirinya di jalan Allah dengan berdakwah atas nama fisabilillah.

Noah juga tidak lagi mahu dikaitkan dengan sebarang agenda Yahudi seperti vaksin, perubatan dan sebagainya.

Menurut Zetty, dia keliru kala Noah mengatakan mahu memutuskan tunang dan membatalkan rancangan perkahwinan mereka kerana dia kini idamkan wanita lebih solehah.

“Saya rasa terlalu terkejut apabila perkataan itu keluar dari mulut seorang yang pernah seronok hidup ‘berparti’ bersama saya.

“Noah bagaikan sudah mati buat saya kerana yang di hadapan saya itu, hanya jasad yang serupa dengannya,” ujar Zetty dalam nada geram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI