PELUMBA sensasi Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn melakukan pecutan bertenaga untuk muncul sebagai pemenang Peringkat Pertama Siri Jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 187.4 kilometer (km) untuk juara awal keseluruhan di Dataran Shahbandar semalam.
De Kleijn membuktikan dirinya pelumba terpantas dalam peloton pecut akhir kumpulan, menewaskan saingan daripada Sasha Weemaes dari pasukan Human Powered Health dan Gleb Syritsa dari Astana Qazaqstan.
“Saya berasa selesa dan gembira, ia saingan pecutan yang mencabar selepas saya kehilangan bantuan daripada rakan sepasukan, Maikel Zijlaard,” kata De Kleijn.
Kekecewaan pasukan negara, TSG diubati dengan kehebatan Muhammad Nur Aiman Zariff yang berjaya menawan jersi Merah (Raja Bukit) apabila memenangi zon pendakian di Jerangau.