fbpx

Bandar Lestari Wilayah Persekutuan untuk kesejahteraan komuniti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WILAYAH Persekutuan bakal menyambut ulang tahun ke-50 pada 1 Februari depan.

MESKIPUN Kuala Lumpur cukup sinonim dengan Wilayah Persekutuan, Labuan dan Putrajaya juga merupakan sebahagian daripada wilayah yang amat penting bukan sahaja sebagai ibu negara dan pusat pentadbiran, malah dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Mengimbau sejarah, Kuala Lumpur telah diambil daripada Negeri Selangor untuk dijadikan sebagai Wilayah Persekutuan, seterusnya diangkat sebagai ibu negara Malaysia pada 1 Februari 1974.

Sejak itu, bandar raya Kuala Lumpur mengorak langkah pantas dengan pelbagai kemajuan dan pembangunan termasuk menempuh banyak cabaran dalam aspek pembangunan secara global yang berorientasikan isu pengurusan perbandaran, alam sekitar, penempatan, pengangkutan, ekonomi dan pekerjaan setempat.

Keadaan ini menjadikan Kuala Lumpur sebagai negeri yang menawarkan banyak peluang pekerjaan sehingga mendorong penduduk dari negeri-negeri lain berhijrah untuk mencari rezeki.

Ia secara langsung menambah populasi penduduk Kuala Lumpur, sekali gus memerlukan pelan tindakan melibatkan isu perumahan dan penempatan bagi memastikan warga ibu kota menjalani kehidupan dalam keadaan selesa.

Kepesatan dan pembangunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai ibu kota menjelang 50 tahun penubuhannya. -Gambar hiasan

Antara tindakan yang dilakukan ialah mengubah kehidupan di penempatan setinggan yang lapuk dan usang kepada Projek Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam DBKL.

Ia bertujuan memastikan rakyat mendapat kemudahan perumahan mencukupi untuk disewa golongan miskin tegar dan miskin. Usaha itu dikembangkan lagi dengan pembinaan Residensi Prihatin pada harga RM200,000 dan Residensi Madani Prihatin yang menawarkan kediaman serendah RM70,000 seunit dengan keluasan sekurang-kurangnya 700 kaki persegi.

Bagi yang berpendapatan sederhana pula, tawaran rumah mampu milik Residensi Wilayah pada harga RM300,000, dengan keluasan minimum 800 kaki persegi diperkenalkan. Inisiatif ini memberi peluang kepada golongan belia, khususnya yang baru memulakan kehidupan berkeluarga memiliki kediaman sendiri di ibu kota.

Sementara itu, bagi melestarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan, pastinya kemudahan sistem pengangkutan menjadi salah satu agenda penting kepada kerajaan.

Bagi tujuan itu, kerajaan komited memacu transformasi perkhidmatan pengangkutan awam baik dari aspek perkhidmatan rel bandar seperti KTM, LRT, Monorel dan terkini, MRT, serta melalui perluasan laluan perkhidmatan bas henti-henti dalam bandar.

Kerajaan turut menawarkan pelbagai insentif pas perjalanan tanpa had serta bas percuma seperti bas GoKL sebagai suntikan untuk merancak dan memberikan penjimatan yang memberansangkan kepada pengguna pengangkutan awam.

Peniaga kecil dan penjaja tidak dipinggirkan dalam menikmati manfaat dalam pembangunan pesat ekonomi negara. -Gambar hiasan

Projek Greater KL berteraskan inovasi teknologi dan kelestarian persekitaran pula hampir siap sepenuhnya. Projek yang bersifat geografik ini memberi impak yang sangat besar kepada kawasan sekitar Lembah Klang.

Projek Sungai Nadi Kehidupan (River of Life), yang meliputi komponen pembersihan dan pengindahan lapan batang sungai serta menaik taraf kawasan tepian sungai berjaya melonjakkan nilai ekonomi setempat.

Malah Kolam Biru, iaitu lokasi pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang yang terletak bersebelahan Masjid Jamek Kuala Lumpur juga telah dinobatkan salah satu ikon waterfont atau persisiran sungai terbaik dunia.

Pertumbuhan ekonomi hasil daripada projek ini membolehkan negara berjaya mencapai kedudukan 20 tempat teratas dalam senarai bandar raya yang mempunyai ekonomi mapan.

Cabaran dinamik Kuala Lumpur masa kini adalah untuk mengekalkan status liveable city, di samping memastikan kelestarian antara pemodenan pembangunan fizikal dengan ekosistem alam sekitar adalah seimbang.

Kelestarian Kuala Lumpur juga diukur melalui pengekalan dan penyediaan kawasan hijau dan lapang yang meliputi taman-taman awam, hutan simpan, serta taman-taman poket bagi kegunaan orang ramai dan penduduk di setiap kawasan perumahan untuk riadah seisi keluarga.

Pada masa sama, kerajaan sudah bertahun-tahun cuba mengubah landskap Kampung Baru, namun isu pemilikan tanah masih menghantui penduduknya. Jaminan kerajaan kepada penduduk bahawa projek pembangunan semula yang bakal dilaksanakan masih akan mengekalkan orang Melayu sebagai pemilik ternyata belum cukup meyakinkan.

Justifikasi bahawa usaha ini membolehkan jumlah komuniti Melayu bertambah di bandar juga seakan tidak diterima, manakala usaha untuk memelihara dan memulihara warisan, seni bina dan budaya Melayu turut masih diragui rakyat.

Inisiatif untuk pembangunan semula Kampung Baru yang merupakan satu-satunya perkampungan rizab Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur adalah cabaran hebat buat kerajaan untuk ditangani.

 

Segenap lapisan rakyat mendapat limpahan nikmat hasil daripada pembangunan pesat Wilayah Persekutuan sejak ditubuhkan hingga ke hari ini. -Gambar hiasan

Kebangkitan Labuan mengejar arus pemodenan

Sementara itu, Labuan diangkat sebagai Wilayah Persekutuan kedua oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan menjana pertumbuhan ekonomi Pulau Mutiara itu. Sejak itu, Labuan menjadi destinasi utama pelabur asing untuk berurus niaga dan diiktiraf sebagai Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa (IOFC) pada Oktober 1990, yang kini dikenali sebagai Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC).

Tarikan ekonomi pulau ini, ditambah dengan status Pulau Bebas Cukai menjadikannya cukup istimewa berbanding wilayah dan negeri lain di Malaysia.

Dengan persekitaran yang indah dan perkembangan industri minyak dan gas, peluang pekerjaan turut meningkat, menjadikan negeri ini dambaan penduduk tempatan dan ekspatriat untuk didiami.

Pun begitu, akibat kemerosotan industri minyak dan gas dunia bermula tahun 2016, ekonomi Labuan yang dipacu oleh sektor ini terjejas teruk. Kelembapan ekonomi akibat kejatuhan harga minyak dan gas membawa kepada kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan akibat penutupan syarikat.

Keadaan ini diburukkan oleh pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyebabkan ramai rakyat Labuan jatuh miskin.

Industri perkhidmatan, pembinaan dan pertanian tidak cukup kuat untuk mempertahankan ekonomi Labuan disebabkan harga bahan mentah yang tinggi, berpunca daripada kos pengangkutan. Kebanyakan kapal-kapal kargo dari semenanjung mahupun luar negara semuanya berpusat dan berlabuh di perairan Sabah, menyebabkan Labuan terus sepi.

Pulau Labuan penuh dengan permata tersembunyi.

Kerajaan perlu memfokuskan kepada pelbagai isu infrastruktur bagi membolehkan Labuan bangkit semula. Masalah seperti gangguan bekalan air yang sering dibangkitkan penduduk perlu diberi perhatian. Penggantian paip usang serta naik taraf loji rawatan air harus dilaksanakan segera supaya menjadi langkah pertama untuk mengembalikan kepercayaan pelabur.

Pemain industri pelancongan juga perlu mengalihkan tumpuan kepada pulau ini yang penuh dengan permata tersembunyi. Keindahan dan kecantikan alam semula jadinya mampu menyaingi lokasi pelancongan negeri lain. Tambahan pula, Labuan telah mendapat pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan.

WP Labuan perlu kembali menjadi destinasi terkenal pusat beli belah bebas cukai seperti suatu ketika dahulu. Pelan Pembangunan Labuan 2030 diharap membawa pembangunan merangkumi aspek fizikal dan sektor ekonomi bagi merancakkan kemajuan WP Labuan.

WILAYAH Persekutuan Putrajaya yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan Malaysia.

Putrajaya pemacu bandar pintar di Malaysia

Kesibukan pusat bandar Kuala Lumpur telah menjadi halangan dalam proses pentadbiran kerajaan dan atas kepentingan itu, Putrajaya diwujudkan. Putrajaya diisyitiharkan sebagai Wilayah Persekutuan yang ketiga pada tahun 2001.

Kelebihan utama Putrajaya berbanding Kuala Lumpur dan Labuan ialah ia sebuah bandar terancang berkonsepkan bandar dalam taman, namun imejnya sebagai sebuah bandar khusus untuk pentadbiran kerajaan sukar dikikis pada awalnya. Putrajaya aktif pada hari bekerja tetapi menjadi malap menjelang malam hari.

Putrajaya berperang untuk menjadi bandar yang fit to all – sebagai bandar dalam taman, bandar mesra sukan, bandar rekreasi, bandar hijau rendah karbon, bandar mesra belia, bandar pintar dan pelbagai lagi. Untuk itu, pelbagai tarikan seperti kecanggihan seni bina bangunan kerajaan, kompleks komersial serta taman dan tasik yang indah dibuka kepada semua untuk diteroka.

Ini penting untuk membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat menjana pendapatan. Ini kerana bukan semua penduduk di Putrajaya adalah penjawat awam.

Kepelbagaian sektor yang dapat memangkin ekonomi Putrajaya secara berterusan disusun rapi, termasuk pembangunan rumah mampu milik, pusat sukan dan rekreasi, pembukaan kafe-kafe hipster dan pusat pertanian moden menjadikan Putrajaya kini sibuk seperti bandar-bandar lain.

Kini, usaha Putrajaya sudah menampakkan hasilnya. Ribuan pelancong yang berkunjung ke Putrajaya saban hari dan mula menjadikan Putrajaya sebagai destinasi pilihan termasuk pada waktu malam melibatkan aktiviti riadah dan lepak santai seisi keluarga.

Memandangkan Putrajaya adalah lambang kebanggaan dan aspirasi negara, ia perlu meneruskan misi menjadi contoh sebuah perbandaran yang mampan, hijau dan lengkap selaras dengan Pelan Struktur Putrajaya 2025.

Wilayah Persekutuan menawarkan pengalaman membeli-belah menarik melalui pelbagai barangan dan perkhidmatan yang dijual mengikut bajet pelanggan. – Gambar hiasan

Tinggal lagi, usaha melestarikan ketiga-tiga wilayah Persekutuan ini yang memerlukan tindakan dan komitmen berterusan khususnya dalam menyelesaikan beberapa isu seperti kebajikan golongan rentan dan miskin.

Inisiatif penyelesaian perlu dirancang dan dilaksanakan supaya kelompok ini tidak berterusan tercicir dari kemakmuran ekonomi negara dan yang perlu dinikmati secara sama rata.

Semua ini penting dalam memantapkan lagi rasa kekitaan dan bangga menjadi warga Wilayah Persekutuan khususnya untuk Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana rata-rata penduduknya adalah kelompok migrasi, bukan tempat lahir dan membesar di situ.

Bagi merealisasikan hasrat itu, gandingan pihak swasta dan badan bukan kerajaan amat penting melalui pendekatan dari masyarakat kepada kerajaan (bottom-up). Mereka boleh menyumbang tenaga dari aspek pendidikan berterusan kepada masyarakat untuk memiliki rasa sayangkan Wilayah Persekutuan.

Kini penubuhan Wilayah Persekutuan bakal mencapai 50 tahun pada 2024. Gabungan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ini membentuk satu entiti unik dalam negara Malaysia. Ia berbeza dari segi status berbanding 13 negeri yang lain, tetapi masih memainkan peranan besar dalam politik dan ekonomi negara.

Semua itu menjadi cabaran besar kepada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan agensi di bawahnya untuk memperkasa perpaduan pelbagai lapisan masyarakat majmuk di Wilayah Persekutuan, selain penyatuan dalam kalangan masyarakat Semenanjung dan Borneo yang akhirnya dapat membentuk sebuah komuniti lestari. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI